PETALING JAYA: Sebanyak 137 laporan polis terhadap syarikat agensi pelancongan mengendalikan umrah setakat ini dengan kerugian dianggarkan kira-kira RM2.94 juta.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yooser berkata, laporan diterima di seluruh negara membabitkan 46 di Selangor, Kelantan (20), Negeri Sembilan (15), Terengganu (13) dan Kuala Lumpur (10).
Katanya, selain itu, sebanyak empat kes di Pahang; Sarawak (1); Johor (10); Melaka (4); Kedah (6), Pulau Pinang (5) dan masing-masing satu di Sabah, Perlis dan Perak.
“Daripada jumlah laporan itu, sebanyak 13 kertas siasatan dibuka.
“Jumlah kerugian tertinggi dicatatkan di Kelantan mencecah RM908,120, diikuti Selangor (RM678,805), Negeri Sembilan (RM332,880), Terengganu (RM253,710), dan Johor (RM184,170),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, polis menahan lapan individu termasuk pasangan suami isteri yang juga pemilik agensi pelancongan bagi membantu siasatan kes penipuan pakej umrah.
Siasatan awal mendapati syarikat pengendali umrah itu mula beroperasi sejak tahun 2022 dan telah berpindah ke sebuah premis tiga tingkat di Sepang pada Oktober tahun lalu.
14 Januari lalu, kecoh di media sosial apabila kira-kira 300 jemaah umrah terkandas apabila penerbangan mereka ke Tanah Suci ditunda syarikat pengendali umrah itu.
Susulan itu, Pengarah Urusan Syarikat Umrah Hejira Travel & Tours Holding Sdn Bhd membuat permohonan maaf secara terbuka berikutan insiden itu dan menawarkan tiga penyelesaian termasuk pemulangan 100 peratus pengembalian wang jemaah.
































