RANAU: Kerajaan Negeri berkeyakinan mampu memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat dan negeri berikutan kedudukan kewangan yang kukuh ketika ini.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, rizab tunai negeri kini berada pada tahap tertinggi dalam sejarah.
“Rizab tunai yang kukuh ini adalah hasil pengurusan kewangan bijak serta kestabilan politik di Sabah,” katanya ketika merasmikan Upacara Penyerahan Kepala Singa Kepada Pertubuhan Masyarakat Tionghua Ranau dari Kerajaan Negeri Sabah dan merasmikan Sambutan Tahun baru Cina 2025 yang diadakan di Dewan Hakka Ranau, kelmarin.

Masidi yang juga ADUN Karanaan menegaskan bahawa kestabilan politik membolehkan Sabah meraih hasil yang lebih tinggi, membolehkan Kerajaan Negeri memberikan peruntukan besar kepada pembangunan dan pelbagai permintaan masyarakat.
Masidi turut memaklumkan beberapa projek utama sedang dilaksanakan di Ranau. Salah satu daripadanya ialah pembinaan loji penapis air baharu di Lohan bernilai RM62 juta.
Dalam usaha mengatasi kesesakan lalu lintas, Kerajaan Negeri turut merancang pembinaan lorong memotong untuk mengurangkan kesesakan melibatkan kenderaan berat. Projek ini menjadi penyelesaian jangka pendek sebelum pembinaan jalan baharu Tamparuli-Ranau yang dijangka bermula pada 2028. Beberapa laluan alternatif dan jambatan utama juga sedang dalam pembinaan di lokasi strategik untuk memudahkan aliran trafik.

Pada majlis itu, Masidi turut menyerahkan kepala singa kepada Pertubuhan Masyarakat Tionghua Ranau dan meluluskan peruntukan sebanyak RM20,000 kepada Persatuan Hakka Daerah Ranau.
Pengerusi Penganjur, Kapitan Datuk Dr. Jimmy Tham menyatakan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas sumbangan dan komitmen terhadap pembangunan komuniti.
Menurutnya, Tahun Ular 2025 melambangkan kebijaksanaan, ketajaman dan daya saing. Beliau berharap tahun ini membawa perubahan positif kepada masyarakat.
Tham turut menyeru sokongan berterusan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri ke-17.
Antara yang hadir ialah Timbalan Ketua Menteri II yang juga ADUN Kundasang, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam; Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri yang juga ADUN Paginatan, Datuk Abidin Madingkir; Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin; dan Pemangku Konsul Jeneral Republik China di Kota Kinabalu, Ouyang Huifeng; Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Dr. Roland Chua serta seluruh pemimpin Tionghua Ranau.
































