CAN THO: Seorang pemuda berusia 24 tahun di Vietnam mengalami pengalaman luar biasa apabila penyepit kayu sepanjang sembilan sentimeter tertusuk di soket mata kirinya selama tiga minggu tanpa sedar.
Menurut Utusan Malaysia, laporan dari Hospital Universiti Perubatan dan Farmasi Can Tho menyatakan, lelaki tersebut mendapatkan rawatan selepas mengadu sakit dan bengkak pada mata kirinya serta simptom itu dikatakan sudah dirasai selama tiga minggu, tetapi semakin teruk dalam beberapa hari sebelum mendapatkan pemeriksaan lanjut.
Mangsa yang tidak dinamakan itu pernah mendapatkan rawatan awal di sebuah fasiliti perubatan di kampung halamannya, namun rawatan ubat yang diberikan gagal mengurangkan masalah.
Pemeriksaan awal di hospital turut mendapati penglihatannya adalah normal dan tidak menunjukkan sebarang kecederaan pada bola mata, namun terdapat bengkak dan nanah kecil di sudut mata kirinya.
Hasil imbasan CT mengejutkan doktor apabila mendapati objek asing sepanjang sembilan sentimeter, dikenal pasti sebagai penyepit kayu, tertusuk di soket mata kirinya.
Penyepit kayu itu didapati menembusi tisu lembut di luar mata kiri, melalui dinding atas sinus maksila dan merosakkan dinding lateral rongga hidung.
Ketika ditanya bagaimana penyepit kayu tersebut boleh berada dalam soket matanya, mangsa hanya mengingati insiden ‘berlanggar’ dengan rakan ketika berpesta sambil minum alkohol, tetapi tidak menyedari ia mengakibatkan kecederaan serius seperti itu.
Doktor berjaya mengeluarkan penyepit kayu tersebut melalui pembedahan Caldwell-Luc dan menjalankan endoskopi paranasal bagi memastikan tiada objek asing lain yang boleh menyebabkan jangkitan tambahan, dan pembersihan luka secara menyeluruh dilakukan bagi mengelakkan komplikasi.
Menurut pakar perubatan, mangsa bernasib baik kerana penyepit kayu tersebut tidak mencederakan bola mata, namun mereka memberi amaran kecederaan seperti itu sangat berbahaya dan perlu mendapatkan rawatan segera.
Insiden seumpama itu bukan pertama kali dilaporkan kerana beberapa tahun lalu, seorang wanita di Taiwan didapati mempunyai penyepit plastik tertusuk di tengkoraknya selama seminggu tanpa disedari, manakala seorang lelaki di Vietnam pula menjalani kehidupan selama lima bulan dengan penyepit kayu di tengkoraknya sebelum mendapatkan rawatan






























