Bas persiaran dinaiki pelancong China terbabas di Jalan Lintas Sibuga, Sandakan hari ini. – Ihsan Bomba
SANDAKAN: Seorang pemandu bas persiaran parah manakala enam pelancong warga China cedera ringan apabila bas yang dinaiki terbabas sendiri di Jalan Lintas Sibuga, di sini hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, bas persiaran yang dinaiki 18 mangsa termasuk pemandu lelaki berusia 63 tahun itu mengalami kemalangan dengan terbabas sendiri.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan itu pada pukul 9.15 pagi dan sepasukan lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak pada jarak 10 kilometer dari BBP Sandakan.
Sejurus tiba di lokasi kejadian, kesemua mangsa yang cedera serta 11 penumpang lain telah dihantar ke Hospital Duchess of Kent oleh orang awam sebelum ketibaan jentera bomba.
Berdasarkan maklumat yang diterima, kesemua mangsa warga China terdiri daripada tujuh lelaki dan 10 perempuan termasuk empat kanak-kanak.


































