BEIJING: Seorang warga emas yang berdegil enggan berpindah dari rumahnya di Jinxi kini terpaksa berhadapan dengan realiti pahit apabila kediaman dua tingkat milik itu dikelilingi lebuh raya selepas beliau menolak pampasan bernilai 180,000 pound (RM983,177) yang ditawarkan kerajaan.
Menurut Utusan Malaysia, pemilik rumah berkenaan, Huang Ping kini terpaksa hidup di tengah-tengah tapak pembinaan yang penuh dengan debu, bunyi bising serta gegaran.
Beliau kini mengakui kesal dengan keputusan yang diambil, terutama dengan pembukaan lebuh raya tersebut yang dijangka pada musim bunga nanti.
“Jika saya boleh memutarkan kembali masa, saya akan bersetuju dengan syarat perobohan yang mereka tawarkan. Kini, saya rasa seperti telah kalah dalam pertaruhan besar,” katanya penuh kesal.
Gambar yang tular menunjukkan bumbung rumah Huang hampir setara dengan dua lorong lebuh raya yang dibina memintas di kedua-dua sisi rumahnya sebelum bersambung kembali.
Menurut Setiausaha Jawatankuasa Parti Daerah Jinxi, Huang yang tinggal bersama cucunya berusia 11 tahun, enggan berpindah kerana tidak berpuas hati dengan tawaran pampasan daripada kerajaan.
Setelah rundingan berlarutan tanpa sebarang keputusan, pihak berkuasa akhirnya mengambil langkah membina jalan pintas di sekeliling rumahnya untuk memastikan projek lebuh raya tersebut dapat diteruskan.
Kisah rumah Huang menarik perhatian ramai penduduk yang datang ke kawasan tersebut untuk merakam gambar dan beliau kini mendapat jolokan ‘pemilik rumah paku kuat’ di China, istilah yang digunakan untuk pemilik rumah yang enggan berpindah meskipun berhadapan dengan projek pembangunan besar.
Di China, istilah ‘rumah paku’ sering digunakan untuk menggambarkan kediaman yang kekal berdiri walaupun dikelilingi runtuhan atau projek yang terus dibangunkan.
Ini kerana ada pemilik yang sanggup mempertahankan rumah mereka walaupun bangunan pencakar langit dan pusat membeli-belah dibina mengelilingi kediaman mereka.
Pada tahun 2017, sebuah kediaman terkenal di Shanghai yang menghalang lalu lintas selama hampir 14 tahun akhirnya dirobohkan selepas pemiliknya bersetuju untuk berpindah dengan pampasan 300,000 pound (RM1.6 juta).
Kes Huang mengingatkan orang ramai tentang cabaran antara pembangunan dan hak pemilik tanah, serta keputusan yang perlu diambil bagi mengimbangi kedua-duanya.






























