Hajiji mengiringi Tun Musa dan Toh Puan Faridah Tusin bersama Jeneral Republik China di Kota Kinabalu, Dr. Huang Shifang menggaul yee sang sempena Resepsi Tahun Baharu Cina (Spring Festival Reception) anjuran Konsulat Republik Rakyat China.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan terus meningkatkan lagi kerjasama dengan China dalam pelbagai bidang untuk manfaat bersama khususnya rakyat daripada kedua-dua negara.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, hubungan antara
kedua-dua negara khususnya dengan Sabah adalah baik dan banyak manfaat telah diperoleh bersama.
“Kerajaan Negeri Sabah berharap dapat bekerjasama rapat dengan Konsulat Jeneral China di Kota Kinabalu untuk membawa hubungan Sabah-China ke satu tahap lagi, yang akan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.
“Kita juga berkongsi kegembiraan dan harapan sempena Tahun Baharu Cina ini,
dengan iltizam untuk terus meningkatkan hubungan baik antara Sabah dan China.
“China sentiasa menjadi jiran dan rakan yang terbaik. Hubungan antara kedua-dua negara adalah baik dan kita saling mendapat manfaat antara satu sama lain. Marilah kita meneruskan sinergi ini dan memanfaatkan kerjasama ini dalam pelbagai bidang,” katanya pada Resepsi Tahun Baharu Cina (Festival Musim Bunga) Konsulat Republik Rakyat China di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, malam ini.
Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tusin.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri akan terus memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi dan memajukan agenda pembangunan melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
“Di Malaysia dan di Sabah khususnya, kita berasa bangga kerana perayaan Tahun
Baharu Cina bukan saja disambut oleh masyarakat Cina, tetapi juga rakyat pelbagai kaum dan budaya di negeri ini turut sama-sama meraikannya,” katanya.


































