David memantau harga ayam di pasaraya di Kota Kinabalu.
KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Nasional Malaysia (YPNM) Cawangan Sabah meminta para peniaga agar tidak cuba mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan keperluan semasa Tahun Baharu Cina ini.
Pengerusi YPNM Cawangan Sabah, David Chan berkata, golongan peniaga seharusnya bersikap bertanggungjawab terutama bagi membantu agar tidak membebankan pengguna yang pada masa kini tertekan dengan kenaikan kos sara hidup.
Beliau berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana peniaga didapati mengamalkan sikap tidak beretika dalam perniagaan terutama dalam musim perayaan Tahun Baharu Cina
“Menjelang musim perayaan Tahun Baru Cina ini, peniaga jangan sesuka hati menaikkan harga barang-barang keperluan dan jangan mengambil kesempatan atau melanggar akta sedia ada di Sabah.
“Persatuan Pengguna ada menerima aduan baru-baru ini mengenai harga ayam yang dijual pada kadar RM16.50 sekilogram, melebihi harga kawalan yang ditetapkan oleh Kerajaan. Peniaga diingatkan bahawa barangan keperluan yang tertakluk kepada kawalan harga mesti dijual pada atau di bawah harga yang ditetapkan.
“Tindakan mengambil kesempatan atas permintaan tinggi semasa musim perayaan adalah tidak beretika dan melanggar hak pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pengguna yang mendapati penjual yang cuba melanggar peraturan supaya membuat aduan atau laporan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNHEP) sama melalui WhatsApp di talian 019-2794317 atau telefon (088-484368) atau e-mel kepada: e-aduan@kpdnkep.gov.my.


































