Allahyarham Datuk Haji Mohamad Hamsan Haji Awang Supain
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menzahirkan ucapan takziah kepada Datin Hajah Kalsom Haji Abd. Aziz dan keluarga atas pemergian Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Allahyarham Datuk Haji Mohamad Hamsan Haji Awang Supain, yang meninggal dunia malam tadi (19 Januari).
Beliau menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan kepada negeri, terutama rakyat di kawasan yang diwakilinya iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga.
“Allahyarham merupakan seorang rakan lama yang bersama-sama berjuang dalam
pentadbiran kerajaan. Beliau merupakan seorang pemimpin berjiwa rakyat, peramah
dan disenangi ramai. Perjuangan dan sokongan beliau bersama Kerajaan Negeri amat dihargai.
“Saya mewakili Kerajaan Negeri menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Datuk Haji Mohamad Hamsan Haji Awang Supain.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama roh orangorang beriman dan beramal soleh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Hamsan, 65, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 11.20 malam
di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 tahun 2020, Mohamad Hamsan yang
mewakili Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi DUN Sungai Sibuga menewaskan empat calon lain dengan majoriti 1,538 undi.


































