Armizan (tengah), Susan (sembilan dari kanan) dan Ghulamhaidar (sembilan dari kiri) merakamkan gambar kenangan selepas pelancaran Kinarut Palm City.
PAPAR: Daerah Papar terus melaksanakan projek pembangunan ke arah menjadikan daerah itu sebagai hab pelancongan yang baharu.
Menurut Ahli Parlimen Datuk Armizan Mohd Ali, tiga projek besar yang sedang dilaksanakan di daerah ini mampu merangsang aktiviti pelancongan sekali gus meningkatkan taraf hidup serta ekonomi masyarakat.
“Setakat ini, kita ada tiga projek utama yang melibatkan, yang terkait secara langsung dengan sektor pelancongan.
“Yang pertama, pembangunan resort intercontinental hotel di Melinsung, yang begitu juga oleh Senior Group di kawasan seluas 30 hektar dan tengah dibangunkan.
“Yang kedua adalah projek bertaraf lima bintang pembangunan oleh Mujur Legenda di kawasan Suangon Kinarut yang melibatkan kawasan seluas 100 hektar.
“Pembangunan yang ketiga ialah Kompleks Kebudayaan Sabah juga akan dibina di kawasan Kinarut ini dan majlis perasmiannya akan disempurnakan oleh Ketua Menteri pada 25 Januari ini.
“Saya mengharapkan hasrat kita untuk menjadikan Papar ini, khususnya Parlimen Papar sebagai satu hab pelancongan terbaru yang menarik bagi Negeri Sabah,” jelas beliau.
Mengulas lanjut ujar Armizan, usaha kini difokuskan untuk mengetengahkan produk-produk pelancongan yang dijalankan oleh penduduk setempat.
“Apa yang penting sekarang, kita akan mengenal pasti produk-produk pelancongan supaya pelancong-pelancong yang datang, boleh pergi untuk aktiviti-aktiviti tambahan yang diusahakan oleh penduduk-penduduk desa di Papar.
“Kita akan mewujudkan satu ekosistem pelancongan holistik yang turut melibatkan jualan produk tempatan seperti cenderahati, makanan dan sebagainya,” katanya kepada media selepas melancarkan Kinarut Palm City oleh Kumpulan WSG di sini, pada Ahad.
Hadir mengiringi beliau ialah Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulamhaidar Khan Bahadar yang juga ADUN Kawang, ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim, Pegawai Daerah, Muhammad Mohd Ali dan Pengarah Urusan Kumpulan WSG, Datuk Susan Wong.
Mengenai projek baharu oleh Kumpulan WSG itu Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata komitmen kumpulan terbabit turut menyumbang kepada kepesatan pembangunan di daerah ini.
“Kinarut Palm City yang membabitkan pembinaan beberapa blok bangunan dan lot kedai ini juga bakal merangsang sektor peruncitan di Papar.
“Dengan jumlah kepadatan penduduk yang semakin tinggi dan lokasi Kinarut juga berdekatan dengan ibu negeri, kita yakin ia dapat menampung keperluan sekali gus membawa impak ekonomi dan juga yang paling penting impak ekonomi itu kepada penduduk setempat di kawasan Parlimen Papar.
Kinarut Palm City terdiri daripada 65 unit lot kedai dengan 54 unit lot kedai dua tingkat, 10 unit lot kedai tiga tingkat dan satu unit lot komersial satu tingkat.
Projek yang dikelilingi 600 unit rumah teres Taman Sungai Wang dan Rose Garden itu dijangka siap dalam masa dua tahun.


































