Joniston bertemu dengan peserta program.
KIULU: Sebuah bengkel khas untuk meningkatkan kesedaran dan penglibatan belia dalam proses demokrasi menerusi Undi-18 telah diadakan di Kiulu, hari ini.
Program bertemakan “Get informed, Get Involved” ini adalah anjuran bersama Unit Pemimpin Pembangun Masyarakat (UPPM) N.15 Kiulu, Pertubuhan Gerak Anak Sabah dan Pertubuhan Tuaran Care, dengan kerjasama pensyarah dan pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Bertajuk “Memperkasa 18: Membentuk Demokrasi Esok Hari”, program ini bertujuan memberi pemahaman mendalam tentang hak dan tanggungjawab generasi muda, terutama di Kiulu, sebagai pengundi serta membuka ruang kepada mereka untuk membincangkan isu-isu komuniti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai yang merasmikan majlis penutupan program tersebut menegaskan kepentingan penglibatan anak-anak muda dalam proses demokrasi meskipun terdapat kekecewaan terhadap keadaan politik semasa.
“Saya faham, ramai di luar sana mungkin berasa kecewa dengan politik semata-mata kerana beranggapan bahawa politik hanya penuh dengan janji kosong dan tiada perubahan sebenar yang berlaku.
“Namun, persepsi ini tidak seharusnya menghalang pengundi muda daripada melakukan tanggungjawab mereka untuk mengundi. Mengundi adalah langkah proaktif untuk melibatkan diri dalam pembangunan dan ia adalah satu pengalaman pembelajaran yang bermakna,” katanya.

Beliau turut menggalak para belia untuk mengkaji calon yang bertanding, parti politik yang mereka wakili dan manifesto mereka dengan memahami perjuangan mereka serta membandingkannya dengan keperluan komuniti.
Tegas beliau, setiap undi mampu memberi impak kepada pembangunan masyarakat dan peluang anak muda untuk berkembang.
“Sebagai Wakil Rakyat Kiulu, saya sentiasa terbuka untuk mendengar dan memahami keperluan serta impian generasi muda. Anak muda di kawasan ini memiliki cita-cita yang pelbagai, seperti teknologi, seni kreatif, pelancongan, pendidikan, pertanian moden dan keusahawanan.
“Undi-18 membuka ruang kepada anda untuk bersuara dalam demokrasi dan menyumbang kepada pembangunan melalui bidang-bidang yang diminati,” katanya.
Bagi memastikan generasi muda di Kiulu terlibat dalam perancangan pembangunan, Joniston menyarankan agar sekurang-kurangnya 30 peratus komposisi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di DUN Kiulu diperuntukkan untuk belia.
“Dengan cara ini, Undi-18 bukan sahaja melibatkan pengundian, tetapi juga menjadi platform untuk anda menunjukkan tanggungjawab sebagai pemimpin muda yang aktif membangunkan komuniti kita,” tambahnya.
Program dimulakan dengan taklimat mengenai berbagai program dan inisiatif dibawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Penyeleras Sekretariat SMJ, Datuk Rosmadi Sulai.
Sesi utama program termasuk bengkel “Memahami Demokrasi, Proses Mengundi dan Aspek Praktikal Mengundi” yang dikendalikan oleh Pensyarah Kanan UNIMAS, Profesor Madya Dr. Arnold Puyok.
Sesi ini turut merangkumi panduan praktikal seperti pendaftaran pengundi, penggunaan kertas undi dan tatacara mengundi, diikuti dengan sesi soal jawab bersama para peserta.
Potensi dan cabaran Undi-18 dalam landskap politik Malaysia turut dibincangkan dalam forum Hala Tuju Undi-18 di Malaysia yang menampilkan wakil Pertubuhan Gerak Anak Sabah/Pertubuhan Tuaran Care, Jo-Anna Henley Rampas, yang juga calon PhD UNIMAS, sebagai panelis.
Selain itu, para peserta juga terlibat dalam Latihan Dalam Kumpulan (LDK) dan membentangkan pandangan dan cadangan mereka dalam sesi bertajuk “Apa Anak Kiulu Mahu”.
































