Mohamed Nazri Abdul Aziz
PETALING JAYA: Rakyat Malaysia dinasihatkan agar menangguhkan rancangan perjalanan ke Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) ekoran kebakaran yang melanda di beberapa kawasan di bandar berkenaan.
Menurut Utusan Malaysia, Duta besar Malaysia di Amerika Syarikat (AS) Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, rakyat Malaysia terutama yang mahu melancong perlu menunda hasrat tersebut demi keselamatan mereka.
Katanya, pihak kedutaan sentiasa memantau rapat dan mengemas kini perkembangan situasi di bandar berkenaan.
“Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles telah memberikan maklumat terkini. Keadaan di Pacific Palisades semakin terkawal. Namun begitu, kebakaran tersebut dijangka akan terus merebak kerana angin diramalkan bertiup lebih kencang malam ini serta dari Isnin hingga Rabu.
“Di samping itu, menurut laporan konsulat, tiga pelajar Malaysia di University of California, Los Angeles (UCLA) yang tinggal di luar kampus telah menerima arahan untuk berpindah. Bagaimanapun mereka dalam keadaan selamat di salah satu kediaman kakitangan untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka,” katanya semalam.
Setakat ini, lebih 9,000 struktur musnah dan sekurang-kurangnya 180,000 penduduk masih berada di bawah arahan pemindahan akibat kebakaran itu.
Berdasarkan laporan diterima itu, katanya, kerugian ekonomi dan kerosakan dianggarkan antara AS$52 bilion (kira-kira RM233.9 bilion) hingga AS$57 bilion (kira-kira RM256.4 bilion).
Sebelum ini Kementerian Luar mengesahkan rakyat Malaysia di Amerika Syarikat (AS) berada dalam keadaan selamat susulan kebakaran hutan terbesar melanda Los Angeles dan kawasan sekitarnya yang disifatkan sebagai bencana alam terburuk di rantau itu dalam beberapa dekad.
Rakyat Malaysia di kawasan terjejas mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan segera menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia sekiranya memerlukan bantuan.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi talian hotline Kedutaan Malaysia di Washington DC atau Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles yang beroperasi 24 jam bagi menangani sebarang kecemasan.






























