BANGKOK: Kabinet Thailand meluluskan draf undang-undang yang akan membenarkan perjudian dan kasino, dalam usaha untuk meningkatkan sektor pelancongan, peluang pekerjaan serta pelaburan negara.
Menurut Utusan Malaysia, di bawah rancangan kerajaan, undang-undang yang akan dihantar ke Parlimen untuk dibahaskan, dijangka membenarkan aktiviti perjudian dijalankan di kompleks hiburan berskala besar.
Kasino dan kebanyakan bentuk perjudian adalah haram di Thailand, tetapi pertaruhan bola sepak dan aktiviti judi bawah tanah serta loteri berleluasa, dengan melibatkan sejumlah besar wang.
Hanya beberapa perjudian dibenarkan di Thailand, seperti perlumbaan kuda yang dikawal kerajaan dan loteri rasmi.
Negara jiran termasuk Kemboja, Singapura, Filipina, Laos dan Myanmar meraih manfaat daripada kompleks kasino.
Kerajaan Thailand berpendapat, ketiadaan kasino sah menyebabkan negara kehilangan potensi pendapatan serta tidak mencapai sasaran pelancongan.
Perdana Menteri, Paetongtarn Shinawatra berkata, pengesahan undang-undang akan melindungi orang awam dan turut menjana lebih banyak pendapatan untuk negara.
Kerajaan sebelum ini berusaha untuk membenarkan dan mengawal selia perjudian bagi merangsang ekonomi, tetapi percubaan itu menghadapi tentangan daripada golongan konservatif.
Langkah terbaharu itu dijangka meningkatkan jumlah pengunjung asing sebanyak lima hingga 10 peratus, serta menambah hasil pelancongan sekitar 120 bilion baht (RM15.54 bilion) hingga 220 bilion baht, kata Timbalan Menteri Kewangan, Julapun Amornvivat.
Beliau turut menyatakan sekitar 9,000 hingga 15,000 peluang pekerjaan baharu akan diwujudkan.
Antara penyokong utama usaha ‘menghalalkan’ perjudian adalah bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, bapa kepada Paetongtarn dan juga tokoh berpengaruh dalam parti pemerintah.
































