NEW YORK: Blue Origin kini menghampiri detik bersejarah dalam penerokaan angkasa, dengan pelancaran sulung roket gergasinya, New Glenn ke orbit.
Menurut Utusan Malaysia, syarikat milik Jeff Bezos itu dijadual melancarkan percubaan pertama roket New Glenn pada pukul 1 pagi, hari ini (waktu tempatan) dari Stesen Angkasa Cape Canaveral di Florida.
Blue Origin berkata, siaran langsung misi akan bermula kira-kira sejam sebelum pelancaran di platform media sosial X, saluran YouTube dan laman web rasmi.
Waktu pelancaran baharu diumumkan selepas Blue Origin memilih untuk menangguhkan rancangan melancarkan New Glenn pada awal pagi Ahad.
Syarikat tersebut berharap untuk memulihkan sebahagian roket selepas pelancaran, menyebabkan kelewatan 24 jam.
Roket New Glenn, setinggi kira-kira 98 meter, bukan sahaja roket pertama Blue Origin yang direka untuk membawa satelit ke angkasa, ia juga antara paling berkuasa di dunia.
Dikategorikan sebagai kenderaan pelancaran berat, roket tersebut menghasilkan lebih dua kali ganda kuasa berbanding Falcon 9, roket utama SpaceX, semasa pelancaran.
Misi New Glenn yang tidak berawak itu akan membawa teknologi demonstrasi buatan Blue Origin, dikenali sebagai Blue Ring Pathfinder, ke orbit.
Jika ia berjaya, pelancaran New Glenn boleh meletakkan Blue Origin dalam kedudukan lebih baik untuk bersaing dengan SpaceX milik Elon Musk, yang sekian lama mendominasi sektor pelancaran komersial.
Selama bertahun-tahun Blue Origin hanya melancarkan dan mendaratkan roket New Shepard yang jauh lebih kecil serta boleh digunakan semula dari pinggir atmosfera Bumi.
Namun, ia belum menghantar sebarang objek ke orbit dalam tempoh 25 tahun sejak Bezos mengasaskan syarikat itu, dengan misi untuk berjuta-juta orang bekerja dan tinggal di angkasa.


























