LOS ANGELES: Seorang lelaki menyamar sebagai anggota bomba untuk memecah masuk ke rumah-rumah mewah yang musnah akibat kebakaran hutan terburuk dalam sejarah Los Angeles.
Menurut Utusan Malaysia, lelaki tersebut adalah antara 29 individu yang ditahan pihak berkuasa, yang berikrar akan mengambil tindakan tegas terhadap semua pelaku jenayah, ketika bandar ini terus dilanda kebakaran besar yang memusnahkan segala-galanya di laluan California Selatan.
Sherif Daerah Los Angeles, Robert Luna memaklumkan seorang lelaki ditahan di kawasan elit Malibu yang terjejas teruk akibat kebakaran Palisades, apabila dia ditangkap memecah masuk ke rumah-rumah yang telah terbakar di kawasan tepi pantai itu.
“Ketika saya berada di kawasan Malibu, saya ternampak seorang lelaki berpakaian seperti anggota bomba. Saya bertanya sama ada dia okay kerana dia sedang duduk, tetapi tidak menyangka dia sudah digari.
“Lelaki itu mendakwa bekerja untuk salah satu balai bomba, tetapi selepas semakan dibuat, kami dapati dia menipu. Dia sebenarnya ditangkap ketika sedang mencuri di sebuah rumah,” kata Luna.
Kebakaran Palisades dan Eaton, dua kebakaran utama yang melanda, mengorbankan 24 nyawa setakat ini, memusnahkan lebih 12,300 struktur dan membakar kawasan seluas 40,300 ekar.
Di kawasan sekitar kebakaran Eaton, seramai 25 orang ditahan, manakala empat lagi ditangkap di kawasan Palisades.
Luna turut menasihati orang ramai agar tidak memasuki kawasan berkenaan kecuali mereka adalah penyelamat atau mempunyai urusan kecemasan.
“Kami memahami keinginan pemilik rumah untuk kembali melihat apa yang tinggal, tetapi keselamatan anda lebih penting. Banyak kawasan masih kelihatan seperti baru dilanda letupan bom,” tambahnya.
Kebakaran ini dianggarkan sebagai bencana paling teruk dalam sejarah Amerika Syarikat, dengan kerugian melebihi AS$135 bilion (RM609 bilion) menurut anggaran awal AccuWeather dan bakal memberi tekanan kepada program persekutuan, pasaran insurans dan mengubah kehidupan rakyat Amerika secara menyeluruh.






























