Skuad Harimau Malaya akan diperkuatkan dengan pemain warisan yang berkualiti dalam merevolusikan pasukan tersebut. – Ihsan FAM
PETALING JAYA: Harimau Malaya bakal dibarisi pemain kacukan atau warisan gred A sekali gus bakal menyelesaikan posisi kritikal yang dihadapi skuad kebangsaan.
Menurut Utusan Malaysia, perkara itu dimaklumkan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang berkata, barisan pemain kacukan yang akan dipanggil menyarung jersi Harimau Malaya adalah beraksi di liga teratas Eropah.
Jelas beliau, pemain kacukan kali ini bukanlah dari England tetapi lebih tertumpu di Eropah Selatan.
“Pertahanan tengah, pertahanan kiri, penyerang, pemain tengah, pemain tengah menyerang dan juga pemain sayap kiri.
“Kebanyakannya bermain di liga teratas Eropah. Tiada pemain dari England. Kebanyakannya dari Eropah selatan,”kata Tunku Ismail.
Kelmarin, Tunku Ismail mendedahkan bahawa pasukan negara bakal diperkuatkan sekurang-kurangnya enam pemain warisan gred A.
Sekiranya segala perancangan itu berjalan lancar maka skuad kendalian Peter Cklamovski bakal tampil selaku antara pasukan ‘terkuat’ dalam saingan Kelayakan Piala Asia 2027 apabila diperkuatkan dengan pemain warisan pada kejohanan tersebut kelak.
Justeru, Tunku Ismail memohon kerjasama daripada kerajaan Malaysia bagi membantu memudahkan urusan beberapa pemain itu untuk mendapatkan pasport negara.
Berdasarkan kepada situasi terkini, setakat ini tiada maklumat atau identiti jelas mengenai enam atau tujuh pemain kacukan berkenaan yang bakal menyarung jersi skuad Harimau Malaya nanti.


























