WASHINGTON: Ketua Pengarah Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva meramalkan pertumbuhan global yang stabil dan pengurangan inflasi berterusan menjelang penerbitan laporan Ramalan Ekonomi Dunia yang dikemas kini pada 17 Januari ini.
Menurut Utusan Malaysia, Georgieva berkata, ekonomi Amerika Syarikat (AS) menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada yang dijangkakan walaupun terdapat ketidakpastian tinggi mengenai dasar perdagangan pentadbiran Presiden terpilih, Donald Trump yang menambah cabaran kepada ekonomi global dan menyebabkan kadar faedah jangka panjang meningkat.
“Secara keseluruhan, kadar faedah dijangka akan kekal lebih tinggi untuk satu tempoh masa yang agak panjang,” jelasnya.
IMF dijangka mengeluarkan kemas kini kepada pandangan globalnya pada 17 Januari ini, beberapa hari sebelum Trump memegang jawatan.
Kenyataan Georgieva itu merupakan petunjuk pertama tahun ini mengenai pandangan global IMF yang semakin berubah, walaupun beliau tidak memberi ramalan terperinci.
Pada Oktober, IMF menaikkan ramalan pertumbuhan ekonomi untuk AS, Brazil, dan Britain, namun menurunkannya untuk China, Jepun, dan zon Eropah, mengambil kira risiko perang perdagangan baharu, konflik bersenjata dan dasar kewangan yang ketat.
Ketika itu, IMF menurunkan ramalan untuk pertumbuhan global 2025 sebanyak satu persepuluh mata peratusan, memberi amaran pertumbuhan global jangka sederhana akan merosot kepada 3.1 peratus dalam tempoh lima tahun, jauh di bawah trend sebelum pandemik.
“Tidak mengejutkan, memandangkan saiz dan peranan ekonomi AS, terdapat minat yang tinggi di seluruh dunia terhadap hala tuju dasar pentadbiran yang akan datang, terutamanya mengenai tarif, cukai, pengurangan sekatan dan kecekapan kerajaan.
“Ketidakpastian itu memberi cabaran kepada ekonomi global, terutama bagi negara dan wilayah yang lebih terintegrasi dalam rantaian bekalan global, ekonomi sederhana dan Asia.
“IMF juga melihat tren yang berbeza di pelbagai wilayah. Pertumbuhan dijangka terhenti sedikit di Kesatuan Eropah (EU) dan semakin lemah di India, manakala Brazil berhadapan dengan inflasi yang lebih tinggi,” jelasnya.
Di China, ekonomi kedua terbesar dunia, IMF melihat tekanan deflasi dan cabaran berterusan dengan permintaan domestik.
Georgieva turut menegaskan negara berpendapatan rendah berisiko menghadapi kesan yang sangat negatif jika berdepan dengan kejutan ekonomi baharu.
Walaupun demikian, beliau menekankan bahawa kadar faedah yang lebih tinggi untuk memerangi inflasi tidak membawa ekonomi global ke dalam kemelesetan.
Dalam pada itu, beliau menyeru negara-negara untuk mengurangkan perbelanjaan fiskal dan melaksanakan pembaharuan bagi merangsang pertumbuhan yang lebih mampan.
“Negara-negara tidak boleh meminjam untuk keluar daripada masalah ini. Mereka hanya boleh berkembang untuk keluar daripada masalah ini,” kata Georgieva, sambil menambah bahawa prospek pertumbuhan jangka sederhana untuk dunia adalah yang paling rendah dalam beberapa dekad.
































