NGANJUK : Dua kanak-kanak kembar berusia setahun ditemukan mati lemas dalam kolam ikan di hadapan rumah mereka di Nganjuk, Jawa Timur, menurut polis tempatan.
Menurut Utusan Malaysia, kejadian tragis itu disahkan oleh Ketua Seksyen Perhubungan Awam Polis Nganjuk, AKP Supriyanto yang memaklumkan insiden tersebut berlaku sekitar pukul 2 petang waktu tempatan, Jumaat lalu.
Ketika kejadian, ibu bapa kedua-dua mangsa sedang tidur di dalam rumah.
“Benar berlaku kejadian dua kanak-kanak meninggal dunia akibat lemas di kolam ikan di Dusun Putuk, Desa Babadan,” kata Supriyanto.
Individu pertama yang menemukan mangsa ialah ahli saudaranya yang kebetulan datang ke rumah tersebut untuk menziarahi keluarga.
Dia terkejut apabila melihat kedua-dua kanak-kanak itu terapung di dalam kolam ikan.
“Salah seorang mangsa ditemukan dalam keadaan terlentang, manakala seorang lagi dalam keadaan terapung. Ketika ditemukan, kedua-duanya sudah tidak bernafas,” ujar Supriyanto.
Dia segera memanggil seorang saksi lain, sebelum mereka meminta bantuan penduduk setempat.
Ibu bapa mangsa yang terdengar teriakan tersebut bergegas ke lokasi kejadian dan segera membawa kedua-dua anak mereka ke Klinik Fifa Husada.
Menurut Ketua Polis Pace, AKP Pujo Santoso, pemeriksaan perubatan mendapati tiada sebarang tanda penderaan atau kecederaan pada tubuh mangsa.
“Pihak keluarga menerima kejadian ini sebagai takdir,” kata Pujo.
Hasil siasatan mendapati kedua-dua kanak-kanak itu dipercayai terjatuh ke dalam kolam ketika bermain di kawasan berkenaan.
Kolam ikan tersebut berukuran 1.63 meter lebar, 1.9 meter panjang dan mempunyai kedalaman air 42 sentimeter selain tidak mempunyai pagar keselamatan.
Kejadian itu menjadi peringatan penting kepada ibu bapa agar memastikan keselamatan kawasan permainan kanak-kanak di sekitar rumah.


























