LOS ANGELES : Pasukan bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran yang semakin merebak di sekitar Los Angeles sebelum angin kencang dijangka kembali melanda dalam beberapa hari akan datang.
Menurut Utusan Malaysia, di kawasan kejiranan elit Pacific Palisades, usaha memadamkan kebakaran ditingkatkan selepas api terus merebak ke kawasan baharu sepanjang malam.
Penduduk di kawasan itu kini dalam keadaan berjaga-jaga susulan amaran cuaca buruk yang dijangka memburukkan lagi keadaan.
Pegawai Cal Fire, Todd Hopkins memaklumkan kebakaran Palisades kini merebak ke kawasan Mandeville Canyon dan diancam untuk merebak ke Brentwood, sebuah lagi kawasan kejiranan mewah.
“Fokus utama adalah memadamkan kebakaran di kawasan canyon berhampiran kampus UCLA,” kata Ketua Operasi Cal Fire, Christian Litz dalam sidang akhbar.
Setakat ini, arahan pemindahan telah dikeluarkan kepada 153,000 penduduk dengan 57,000 struktur termasuk rumah dan bangunan berada dalam risiko.
Selain itu, 166,000 penduduk lain turut diberi amaran untuk bersedia menghadapi pemindahan, menurut Sheriff Daerah Los Angeles, Robert Luna.
Sehingga kini, enam kebakaran serentak yang berlaku di daerah Los Angeles sejak Selasa lalu, mengorbankan 16 nyawa serta memusnahkan lebih 10,000 struktur.
Sekurang-kurangnya 13 orang dilaporkan masih hilang dan angka kematian dijangka meningkat apabila anggota penyelamat dapat menjalankan pencarian rumah ke rumah.
Ramalan cuaca oleh Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) menjangka keadaan angin yang lebih terkawal pada hujung minggu ini akan membantu pasukan bomba, walaupun tahap kelembapan rendah dan tumbuh-tumbuhan kering masih memberi risiko tinggi.
Kerajaan Persekutuan mengisytiharkan darurat kesihatan awam akibat asap toksik tebal yang menyelubungi kawasan terjejas.
Firma peramal cuaca, AccuWeather menganggarkan kerugian dan kerosakan ekonomi akibat kebakaran ini mencecah AS$135 bilion hingga AS$150 bilion (RM609 bilion hingga RM679 bilion).
Presiden, Joe Biden telah mengisytiharkan kebakaran ini sebagai bencana besar dan memberi jaminan Kerajaan Persekutuan akan menanggung kos pemulihan sepenuhnya selama enam bulan akan datang.
































