Sazalye Donol Abdullah
KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah yang akan datang.
Sokongan tersebut ditegaskan dalam kenyataan rasmi dibuat oleh Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Sazalye Donol Abdullah.
Sazalye berkata, PKR Sabah menegaskan kepercayaan penuh terhadap kepimpinan Hajiji yang telah berjaya memperkasa ekonomi negeri, memperkukuhkan kestabilan politik dan membawa kemajuan signifikan kepada rakyat Sabah, serta menolak keras sebarang tindakan yang bertujuan menjatuhkan kerajaan pimpinan Hajiji, kerana langkah tersebut berpotensi mencetuskan ketidakstabilan politik serta krisis baru yang boleh menggugat masa depan Sabah.
“PKR Sabah menzahirkan sokongan penuh dan memberi kepercayaan penuh terhadap Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor untuk terus memimpin Kerajaan Negeri Sabah sebagai Ketua Menteri Sabah kerana beliau telah memperkasa dan memperkukuhkan ekonomi dan menstabilkan politik Sabah.
“PKR Sabah menentang keras sebarang usaha menjatuhkan Kerajaan pimpinan beliau yang secara langsung mengakibatkan ketidakstabilan politik dan boleh membawa kepada krisis baru dalam politik Sabah.
“Kami berkeyakinan penuh dan percaya bahawa beliau boleh membawa Sabah ke arah yang lebih cemerlang, progresif, dihormati dan disegani,” katanya.
Sazalye berkata, PKR Sabah juga sentiasa menyokong penuh kepimpinan
Hajiji sebagai Pimpinan Kerajaan Negeri Sabah kerana secara langsung telah
menyumbang pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat iaitu Kerajaan Madani.


































