Kerja-kerja pembinaan benteng sementara untuk menyelamatkan banglo milik Mohd. Yazit Idris di Kampung Tanjung Batu Rakit, Terengganu.
KUALA NERUS: Pemilik banglo bernilai RM600,000 yang berisiko runtuh akibat hakisan pantai di Kampung Tanjung Batu Rakit di sini, lega apabila masalah itu mendapat bantuan penyelesaian jangka masa pendek daripada masyarakat setempat.
Menurut Utusan Malaysia, Mohd Yazit Idris, 66, berkata, masalahnya mendapat perhatian ramai apabila berita mengenai banglo lambang cinta kepada arwah isterinya itu tular di media sosial.
“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh (Hishamuddin Abdul Karim) ada datang ziarah hendak lihat situasi terkini hakisan yang semakin memburuk.
“Hari ini (semalam) kerja-kerja menambak benteng dimulakan secara gotong-royong untuk penyelesaian jangka pendek.
“Terima kasih banyak saya ucapkan kepada semua yang sudi mendengar keluh-kesah dan membantu menyelesaikan masalah saya untuk membina benteng ini sebagai inisiatif sementara,” katanya di sini, semalam.
Baru-baru ini, media melaporkan kegelisahan warga emas tersebut yang bimbang kerana banglo miliknya itu berisiko runtuh pada bila-bila masa disebabkan masalah hakisan yang semakin meruncing sejak akhir-akhir ini.
Pembinaan banglo tersebut siap pada 2018 dengan impian Mohd. Yazit mahu menghabiskan sisa hidup bersama isterinya, Siti Rashiddah Mohd Yunos.


































