Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz
PUTRAJAYA: Kerajaan menerima 44,559,514 permohonan kerja dalam perkhidmatan awam sepanjang tempoh lima tahun sejak 2019 sehingga 2023 melalui tiga agensi utama pihak berkuasa melantik (PBM).
Daripada jumlah itu, pemohon bangsa Melayu mencatatkan peratusan tertinggi iaitu 77 peratus manakala permohonan daripada kaum Cina dan India adalah masing-masing sebanyak dua dan tiga peratus.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, kerajaan memproses semua permohonan bagi memenuhi keperluan perkhidmatan sektor awam tanpa meminggirkan mana-mana calon berkelayakan merentasi semua kaum.
Jelasnya, urusan pelantikan yang dibuat adalah selaras dengan prinsip kerajaan untuk memilih calon yang paling sesuai dan berkualiti untuk jawatan yang tersedia berlandaskan kelayakan dan prestasi mereka dalam ujian dan temuduga.
“PBM diberi kuasa perundangan untuk melantik seseorang ke dalam sesuatu perkhidmatan berteraskan prinsip meritokrasi serta kesaksamaan peluang.
“Proses pengambilan ini bertujuan memastikan penyertaan yang adil daripada pelbagai kaum dalam sektor awam, selaras dengan matlamat kerajaan untuk menyediakan peluang pekerjaan lebih inklusif serta memilih bakat terbaik dalam pelaksanaan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Dalam masa sama, pemohon dalam kalangan bumiputera Sabah dan Sarawak, Orang Asli serta lain-lain etnik mencatatkan bilangan permohonan sebanyak 18 peratus.
Tiga agensi utama PBM itu ialah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA); Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).
Selain daripada tiga agensi itu, urusan pengambilan bagi perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah melalui Suruhanjaya Pasukan Polis, manakala bagi bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula ialah Majlis Angkatan Tentera (MAT).
Menurut beliau, meskipun bilangan permohonan daripada kaum Cina adalah rendah dalam tempoh lima tahun tersebut, kadar peratus lantikan berbanding calon yang hadir temuduga daripada kaum itu adalah paling tinggi iaitu pada tahap 85 peratus.
“Ini disusuli dengan kaum India sebanyak 68 peratus, Orang Asli (54 peratus), bumiputera Sabah dan Sarawak (45 peratus), lain-lain kaum (42 peratus) dan Melayu (41 peratus).
“Perkara ini jelas membuktikan bahawa marginalisasi atau peminggiran mana-mana kaum tidak wujud sama sekali dalam proses pengambilan pegawai untuk berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam,” katanya.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Dahlan berkata, lantikan adalah selaras dengan prinsip kerajaan untuk memilih calon paling sesuai dan berkualiti untuk jawatan yang tersedia berlandaskan kelayakan dan prestasi mereka dalam ujian dan temuduga.
Katanya, pada masa ini, sejumlah 1,302,429 pegawai perkhidmatan awam (tidak termasuk PDRM dan ATM) yang sedang berkhidmat di pelbagai kementerian, jabatan atau agensi mengikut rekod Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) sehingga 31 Disember lalu.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 77.7 peratus adalah Melayu, 5.4 peratus Cina dan 3.7 peratus India, selaian 13.2 peratus terdiri daripada bumiputera Sabah dan Sarawak, Orang Asli serta lain-lain kaum.
“Dalam hal ini, jurang komposisi kaum yang wujud dalam perkhidmatan awam adalah disebabkan bilangan bukan Melayu yang memohon untuk berkhidmat dalam sektor kerajaan sangat rendah, meskipun peratusan lantikan adalah paling tinggi setiap tahun berbanding kaum Melayu.
“Kerajaan akan terus berusaha untuk meningkatkan lagi sistem dan proses pengambilan supaya lebih efisyen, telus dan mudah diakses oleh segenap lapisan rakyat,” katanya.