Keadaan di lokasi kejadian. – Ihsan Bomba
SEMPORNA: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah dalam kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kenderaan di Kilometer 51, Jalan Kalumpang, Semporna-Tawau, pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sabah, panggilan kecemasan mengenai kejadian itu diterima pada jam 7.32 pagi, dan sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna yang diketuai oleh PBK II Mohd. Shukri Mohd. Hamsah tiba di lokasi kejadian pada jam 8.07 pagi.
Kemalangan tersebut melibatkan sebuah van jenis Nissan Urvan dan sebuah kenderaan Toyota Hilux Vigo yang bertembung. Akibat kejadian itu, kedua-dua pemandu tersepit dalam kenderaan masing-masing.
Pasukan bomba bertindak menggunakan peralatan khas Road Traffic Accident (RTA) untuk mengeluarkan mangsa. Mangsa lelaki berusia lingkungan 40-an yang memandu van Nissan Urvan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Jenazahnya kemudian diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, pemandu Toyota Hilux Vigo, seorang lelaki berusia 38 tahun, mengalami kecederaan parah dan telah dikejarkan ke Hospital Semporna menggunakan ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Operasi menyelamat berakhir pada jam 8.50 pagi. Insiden ini turut melibatkan kerjasama PDRM (empat anggota) dan KKM (tiga anggota).
Punca kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa.