David Chan
KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Kebangsaan Malaysia (YPNM) Cawangan Sabah menyuarakan kebimbangan terhadap kenaikan kos sara hidup yang terus membebankan rakyat Malaysia.
Pengerusi YPNM Sabah, David Chan berkata, walaupun usaha Kerajaan untuk meningkatkan gaji sektor awam dan swasta baru-baru ini amat dialu-alukan, langkah tambahan perlu segera diambil bagi mengurangkan tekanan kewangan yang dihadapi oleh rakyat.
Beliau menegaskan bahawa pelarasan gaji minimum adalah satu langkah positif dalam menangani kesan inflasi, tetapi ia masih belum mencukupi tanpa sokongan dasar yang lebih menyeluruh.
“YPNM telah menerima banyak aduan daripada ibu bapa mengenai kenaikan tambang bas sekolah. Walaupun kenaikan ini mencetuskan rasa tidak puas hati, realiti ekonomi semasa tidak boleh diabaikan. Kos penyelenggaraan, alat ganti, upah mekanik, serta kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 sebulan adalah antara faktor yang menyumbang kepada kenaikan tambang ini. Penyesuaian tambang adalah perlu untuk memastikan pengendali perkhidmatan dapat terus memberikan perkhidmatan berkualiti,” katanya.
Menurut Chan, tekanan ekonomi turut memberi kesan kepada sektor lain, termasuk perniagaan kecil seperti kedai kopi. Kos operasi yang meningkat, termasuk kenaikan kadar sewa akibat inflasi, menunjukkan bagaimana kesan ekonomi ini merangkumi pelbagai sektor.
“Kerajaan digesa merangka dasar sokongan yang lebih efektif bagi membantu pengguna dan peniaga mengharungi cabaran ekonomi semasa,” tambahnya.
Selain isu domestik, YPNM turut menyuarakan kebimbangan terhadap laporan penyebaran virus hMPV di China yang berpotensi memberi kesan kepada ekonomi Malaysia.
“Pengalaman kita dengan pandemik Covid-19 sebelum ini telah menunjukkan bagaimana gangguan terhadap bekalan makanan global boleh memberi impak besar kepada keselamatan makanan negara. Oleh itu, Kerajaan perlu memperkukuh rantaian bekalan makanan tempatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap import sebagai langkah proaktif,” katanya lagi.
Chan menegaskan bahawa YPNM akan terus memantau situasi ini dan memperjuangkan dasar yang melindungi kebajikan rakyat.
“Kami yakin dengan perancangan yang rapi serta kerjasama antara Kerajaan, sektor swasta, dan rakyat, Malaysia mampu mengharungi cabaran ekonomi ini,” katanya.


































