Azizah bergambar kenangan bersama Ahli-ahli Lembaga Pengarah IDS Sabah dan pasukan penyelidik IDS.Sabah.
KOTA KINABALU: Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah tahun ini akan memfokuskan usaha membasmi kemiskinan yang masih membelenggu lapan daerah di negeri ini.
Pengerusi IDS, Datuk Seri Azizah Mohd. Dun berkata, kajian menyeluruh perlu dilakukan untuk menangani masalah tersebut agar seluruh lapisan rakyat dapat menikmati kemajuan dan pembangunan pesat di Sabah.
“Pada tahun ini, IDS sebagai Agensi Pemikir Utama Kerajaan Negeri Sabah perlu memberi tumpuan kepada pelaksanaan kajian strategik untuk mengenal pasti punca utama kemiskinan di lapan daerah termiskin di Sabah.
“Daerah tersebut ialah Tongod, Beluran, Pitas, Kinabatangan, Kota Marudu, Tuaran, Ranau dan Lahad Datu. Kajian yang dijalankan mestilah menyeluruh, komprehensif dan teliti, dengan matlamat merangka penyelesaian praktikal dan berkesan.
“Situasi ini bukan sahaja mencabar tetapi amat menyedihkan jika tidak ditangani segera. Oleh itu, IDS perlu memikul tanggungjawab ini, bukan hanya untuk membantu daerah-daerah tersebut keluar daripada senarai daerah termiskin di Malaysia, tetapi juga demi meningkatkan kesejahteraan rakyat Sabah secara keseluruhannya,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 di Wisma IDS, di sini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Datuk Dr. Rem Dambul, Ahli-ahli Lembaga Pengarah IDS, serta kakitangan IDS.
Azizah turut menyeru semua warga IDS agar segera menyediakan cadangan penyelesaian yang bernas sebagai pelan tindakan membasmi kemiskinan.
“Usaha ini perlu dilaksanakan segera supaya lapan daerah ini dapat keluar daripada status termiskin, sekali gus membawa perubahan bermakna kepada kehidupan rakyat di kawasan tersebut,” katanya.
Menurut beliau, pelan tindakan tersebut sejajar dengan usaha memperkukuhkan ekonomi negeri yang turut menyumbang kepada peningkatan pendapatan rakyat.
“Oleh itu, kajian yang teliti dan bersasar perlu dijalankan untuk mencadangkan pendekatan serta strategi sesuai dengan keperluan setiap daerah dan lokaliti.
“Kajian yang mengambil kira perbezaan geografi, sumber ekonomi, dan keunikan komuniti setempat akan membantu kita merangka langkah penyelesaian yang lebih relevan dan berkesan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.
“IDS juga perlu memberi fokus kepada kajian keusahawanan yang menyeluruh dan komprehensif. Ini bertujuan memperkasakan usahawan sedia ada, terutama di kawasan luar bandar, dengan sokongan yang dapat meningkatkan daya saing dan taraf perniagaan mereka,” katanya.
Azizah turut menjelaskan bahawa IDS juga akan meneruskan usaha melahirkan lebih ramai usahawan baharu dengan menyediakan keperluan, mengenal pasti cabaran, dan membuka peluang kepada mereka.
“Kita dapat membina ekosistem keusahawanan yang lebih mampan. Saya yakin peningkatan jumlah usahawan, khususnya di kawasan luar bandar, bukan sahaja dapat menjana pendapatan lebih baik tetapi juga membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan di kawasan mereka.
“Dengan usaha ini, IDS mampu memainkan peranan penting dalam merangka hala tuju pembangunan ekonomi negeri yang lebih menyeluruh dan inklusif sebagai pemangkin kepada kemajuan Sabah yang lebih makmur, sejahtera, dan tiada golongan yang tertinggal,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa IDS telah berjaya melaksanakan pelbagai program sepanjang tahun lalu, dan kecemerlangan itu akan diteruskan pada tahun ini.
“Pencapaian tahun lalu harus dijadikan asas untuk memperkukuhkan usaha kita pada tahun ini. Kelangsungan agenda membantu negeri dan rakyat mesti diteruskan, diperkasa, dan ditingkatkan demi mencapai kemajuan bermakna untuk masa depan Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai usaha memperkasakan peranan wanita di Sabah melalui program dan aktiviti di bawah Women Leadership Initiative Committee (WLIC) sepanjang tahun ini.
“Perancangan strategik yang dirangka perlu dilaksanakan dengan lancar untuk meningkatkan peratusan penyertaan wanita dalam proses membuat keputusan, sekali gus memperkukuhkan peranan wanita dalam pembangunan ekonomi, khususnya melalui keusahawanan wanita,” tambahnya.




























