Remaja perempuan berusia 14 tahun (tengah) yang didakwa mencederakan ibu saudaranya sendiri diiringi oleh dua anggota polis ketika tiba di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang, kelmarin.
BUKIT MERTAJAM: Seorang remaja perempuan mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan kepada ibu saudaranya menggunakan pisau, Jumaat lalu.
Menurut Utusan Malaysia, remaja 14 tahun itu membuat pengakuan di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan dalam sesi prosiding secara tertutup di sini, semalam.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang wanita berusia 34 tahun menggunakan sebilah pisau.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah flat di Jalan Prai Jaya dalam daerah Seberang Perai Tengah kira-kira pukul 11.30 pagi, 3 Januari lalu dan didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadzly Hassan manakala pesalah kanak-kanak itu diwakili peguam, Muhaimin Hashim.
Terdahulu, ketika prosiding, Zulfadzly mencadangkan wang jaminan sebanyak RM5,000, namun, Muhaimin dalam mitigasi rayuannya memohon jaminan minimum dikenakan dengan alasan kanak-kanak selain mahu bersekolah semula bagi sesi akademik akan datang ini.
Mohd. Harith membenarkan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan meletakkan syarat tambahan tidak dibenarkan mendekati atau mengganggu mangsa dan saksi kejadian.
Dalam kejadian itu mangsa cedera di perut selepas ditikam suspek yang juga anak saudaranya susulan pertengkaran mulut kerana suspek ingin tinggal semula dengan ibu kandungnya namun dihalang mangsa. Ketika ditahan remaja tertuduh positif dadah jenis methamphetamin.
























