KOTA KINABALU: Sebanyak tiga buah rumah setinggan atas air di sekitar kawasan Sembulan Tengah telah dirobohkan dalam satu operasi perobohan bersepadu yang diketuai oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Isnin lalu.
Menurut DBKK, hasil pemeriksaan yang dijalankan di kawasan penempatan atas air itu telah mengenal pasti empat buah rumah yang strukturnya telah usang dan tidak selamat untuk didiami, selain tempoh pajakan tanah yang telah tamat dan rumah telah disewakan kepada warga asing.
Operasi yang bermula pada pukul 9 pagi hingga 2 petang itu dilaksanakan oleh 150 anggota dari pelbagai agensi antaranya Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Jabatan Tanah dan Ukur (JTU), Sabah Electricity Sdn. Bhd., Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N.22 Tanjung Aru dan DBKK yang terdiri daripada Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya dan Jabatan Pengurusan Harta.
“Sebanyak lima aset logistik telah digerakkan bagi membantu operasi perobohan ini yang melibatkan dua buah lori, dua buah van dan satukenderaan pacuan empat roda,” katanya dalam satu kenyataan.
Turut hadir memastikan operasi berjalan dengan lancar dan mematuhi prosedur kerja yang ditetapkan ialah Mayor Bandaraya, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah, yang turut diiringi oleh Ketua Pengarah, DBKK, Sr. Lifred Wong, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Robert Lipon; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Luar Bandar dan Penguatkuasaan), Karim Rahim; Pemimpin Pembangunan Masyarakat N.22 Tanjung Aru dan Ketua Kampung Sembulan.
DBKK telahpun memaklumkan lebih awal kepada penyewa rumah-rumah usang tersebut sebelum tindakan perobohan dilaksanakan pada hari tersebut.






























