TANJUNG MALIM: Plat nombor pendaftaran kenderaan Perak siri ANU yang mencetus sensasi apabila merekodkan kutipan hasil bidaan lebih RM2.36 juta tidak membawa sebarang konotasi negatif.
Malah, pendapat sesetengah netizen dalam media sosial yang mengaitkan ANU dengan alat sulit lelaki sebenarnya tidak betul.
Menurut Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr. Norliza Jamaluddin berkata, dalam konteks nombor plat kenderaan, ANU tidak membawa maksud lain sebaliknya sekadar urutan dalam huruf plat kenderaan.
“Jika ikut daripada segi makna, ANU membawa maksud ‘orang’ atau ‘benda yang tidak disebut namanya’ yang lazim digunakan kerana terlupa. Jadi dalam bahasa Melayu amat biasa digunakan nama ‘si anu’ sekiranya tidak mengetahui nama seseorang atau terlupa nama tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, penggunaan anu amat meluas sekiranya seseorang terlupa nama individu lagi dan digantikan dengan perkataan ‘sahabat si anu’, ‘anak si anu’ yang merupakan kebiasaan dalam bahasa Melayu.
Malah, sekiranya seseorang tidak tahu atau terlupa, masyarakat Melayu akan menyebut kawasan penuh sesak dengan anu, di tempat anu dan sebagainya.
“Dalam konteks nombor plat kenderaan, tidak membawa maksud lain kerana sekadar urutan dalam huruf plat kenderaan malah dalam bahasa Melayu, ANU tidak membawa konotasi negatif,” katanya.
Media melaporkan, JPJ Perak membuka bidaan bagi nombor plat kenderaan siri ANU dengan proses pendaftaran dan bidaan dilakukan secara dalam talian melalui platform https://jpjebid.jpj.gov.my dan keputusan diketahui pada 24 Disember lalu.
Sebelum ini, beberapa siri nombor pendaftaran Perak yang bermula dengan huruf A menjadi perhatian kerana ia boleh membentuk pelbagai perkataan dalam perbualan harian.
Setakat ini, nombor plat ‘AMG’ khusus kepada peminat kereta Mercedes-Benz AMG masih berada di kedudukan pertama jualan plat JPJ Perak yang mencatatkan jualan keseluruhan lebih RM6 juta dan masih memegang rekod tertinggi nombor popular dibida.
























