Anwar Ibrahim ketika merasmikan Majlis Pelancaran TMM2026 di Kompleks Kejuruteraan Malaysia Airlines Berhad (MAB) semalam.
SEPANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua kementerian supaya tidak meminggirkan mana-mana negeri terutama dalam aspek pelancongan, pelaburan dan ekonomi sepanjang Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri berkata, jika ia dapat dilaksanakan, unjuran pendapatan sebanyak RM147.1 bilion yang bakal dijana termasuk sasaran kehadiran sebanyak 35.6 juta pelancong menerusi TMM2026 mampu dicapai.
Beliau berkata, TMM2025 adalah satu pendekatan baharu dalam menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama, sekali gus mencatat pertumbuhan pelancongan di seluruh negara.
“Saya minta semua kementerian memberikan tumpuan supaya Malaysia dapat meningkatkan keupayaan bidang pelancongan dan pelaburan ekonomi supaya tidak ada kawasan atau negeri yang tersisih dan tertinggal,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran TMM2026 di sini, semalam.
Katanya, sasaran kehadiran 35.6 juta pelancongan yang bakal menjana pendapatan RM147.1 bilion itu disifatkan sebagai pragmatik dan realistik.
Anwar berkata, jika unjuran itu dapat dicapai, ia secara tidak langsung memberi manfaat besar kepada pelbagai sektor di negara ini seperti pelancongan, makanan dan minuman (F&B) serta industri berkaitan.
“Malaysia bukan sekadar destinasi biasa tetapi destinasi yang unik, mesra alam dan diperkaya dengan keunikan rakyatnya yang berbilang budaya dan bangsa,” katanya.
Kata beliau, matlamat itu juga selaras dengan kerangka Madani, iaitu nilai teras pembangunan negara dengan mengutamakan kelestarian seiring pencapaian tahap yang lebih tinggi.
“Oleh itu, dalam usaha kita mempromosikan Malaysia, kita ingin mempromosikan Malaysia sebagai sebuah destinasi yang lestari dan harmoni, dengan warisan budaya yang pelbagai, berasaskan asas budaya yang kukuh dan inklusif dalam pendekatannya,” katanya.
Pada masa sama, katanya, kempen TMM2026 ini juga selari dengan usaha kerajaan menyiapkan semua negeri sebagai destinasi pelancongan sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 tahun ini.
“Jadi, impak TMM2026, seperti yang saya nyatakan, akan melangkaui industri pelancongan, merangkumi sektor hospitaliti, pengangkutan, peruncitan, industri makanan, dan manfaat ekonomi akan dinikmati oleh komuniti bandar, luar bandar, dan kawasan pedalaman.
“Penekanan diberikan untuk memastikan setiap negeri dan setiap komuniti turut terbabit dalam usaha ini,” katanya.
Sempena TMM2026, beruang matahari Malaya dipilih sebagai ikon dan maskot bagi kempen tersebut.
Lebih spesifik, watak Wira (beruang jantan) dan Manja (beruang betina) diperkenalkan bagi memeriahkan kempen berkenaan.
Majlis Pelancaran semalam turut memperkenalkan logo TMM2026 yang melambangkan budaya berwarna-warni, keindahan semula jadi dan daya tarikan Malaysia kepada global.
Logo tersebut turut diperkenalkan secara kreatif pada badan pesawat Malaysia Airlines, Batik Air, dan AirAsia.
Turut diperdengarkan buat pertama kali ialah lagu tema TMM2026 iaitu ‘Surreal Experiences’ yang menggambarkan keunikan pengalaman yang ditawarkan Malaysia.
Sebanyak 10 rakan strategik kempen TMM2026 turut diperkenalkan antaranya, Malaysia Aviation Group (MAG), AirAsia, Batik Air, Malaysia Airports Holdings Bhd (Malaysia Airport) dan Huawei.
































