Dr. Davina menyerahkan kerusi roda kepada Japlin sambil diperhatikan oleh Nizam.
KOTA BELUD: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menyifatkan pemerintahan Parti Warisan selama dua tahun (2018-2020) sebagai kerajaan paling gagal dalam sejarah Sabah.
Beliau berkata, kerajaan Warisan sering mendakwa hasil usaha Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai kejayaan mereka.
“Apa juga yang dibuat oleh GRS, Warisan ‘mengclaim’ itu adalah usaha mereka. Ibarat lembu punya susu sapi dapat nama. Sebaliknya, Ketua Menteri sekarang, Datuk Seri Hajiji Haji Noor banyak melakukan pembaharuan untuk kemajuan dan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.
Nizam juga menasihatkan rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan janji-janji manis pembangkang yang, menurutnya, hanya pandai berbohong dan tidak membawa manfaat kepada rakyat.
Beliau berkata demikian dalam Seminar Solidariti Mendepani PRN-17 yang berlangsung di Dewan Terbuka Datuk Japlin di sini kelmarin.
Dalam majlis sama, Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Usukan, Datuk Japlin Akim menegaskan bahawa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan akan ditandingi oleh calon GRS pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
“Kita tidak akan berkompromi. Kita akan pastikan Usukan menjadi milik GRS pada pilihan raya akan datang. Ini adalah pendirian kita,” katanya.
Japlin juga menjelaskan bahawa Gagasan Rakyat Usukan telah bersiap sedia sepenuhnya dan bertekad untuk memastikan kerusi DUN Usukan kekal dalam genggaman GRS.
“Melalui wakil GRS, segala keperluan rakyat di DUN Usukan akan lebih terbela. Ini termasuk peningkatan kemudahan asas bagi kesejahteraan rakyat,” tambahnya.
Pada majlis itu, Japlin turut menerima lima kerusi roda daripada Pengerusi Biro Kesihatan Wanita Gagasan Rakyat, Dr. Davina Markus Majihi.
Turut hadir ialah Pengarah Ikrar, Azrul Ibrahim; ahli-ahli jawatankuasa bahagian Usukan; sayap-sayap pergerakan parti komponen GRS; serta ketua-ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Usukan.