Mohamed Salah masih belum mencapai persetujuan dengan Liverpool berhubung kontraknya selepas akhir musim.
LIVERPOOL: Mohamed Salah mengakui dia bermotivasi tinggi untuk melakukan ‘sesuatu yang istimewa’ dalam apa yang dipercayai akan menjadi tahun terakhirnya di Liverpool.
Menurut Utusan Malaysia, Salah, 32, yang kontraknya tamat pada penghujung musim ini, telah menunjukkan prestasi cemerlang apabila membantu pasukan bimbingan Arne Slot mendahului liga dengan kelebihan enam mata di tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL).
Penyerang dari Mesir ini telah menjaringkan 17 gol dan 13 bantuan dalam 18 perlawanan EPL musim ini menjelang kunjungan Manchester United yang sedang bergelut, esok.
Media melaporkan bahawa Salah hampir mencapai persetujuan dengan Liverpool tetapi dia berkata perjanjian itu masih “jauh” selepas kemenangan 5-0 minggu lalu ke atas West Ham.
Salah adalah sebahagian daripada pasukan yang menamatkan penantian 30 tahun Liverpool untuk memenangi gelaran liga pada 2020, tetapi sambutan pada waktu itu agak suram apabila pemain-pemain mengangkat trofi di Anfield yang kosong semasa pandemik COVID-19.
“Ini tahun terakhir saya di kelab ini jadi saya mahu melakukan sesuatu yang istimewa untuk bandar ini.
“Kita menunggu gelaran itu selama lebih 30 tahun. Jadi, apabila memenanginya dan ketika itu pandemik, kami tidak benar-benar mempunyai masa untuk meraikannya dengan cara yang betul. Itu bukan perkara yang bagus untuk dilakukan, jadi harapnya kita boleh lakukannya tahun ini,” katanya.
Salah bukan satu-satunya bintang Liverpool yang berprofil tinggi yang kontraknya tamat pada penghujung musim, kapten The Reds, Virgil van Dijk dan bek kanan England, Trent Alexander-Arnold juga kini bebas untuk berbincang mengenai terma dengan majikan baharu untuk musim depan.
Ketika The Reds di bawah pengurus terdahulu Jurgen Klopp, mereka memenangi pelbagai trofi termasuk Liga Juara-Juara, Piala Dunia Kelab, Piala FA dan Piala Liga.