Ruben Amorim
LIVERPOOL: Ketua jurulatih Manchester United, Ruben Amorim memberi bayangan akan menggunakan pendekatan berbeza untuk menentang Liverpool di Anfield, dengan jurang carta liga menunjukkan perbezaan 23 mata antara kedua-dua pasukan.
Menurut Utusan Malaysia, Amorim biasanya bermain dengan tiga pertahanan sepanjang kariernya tetapi telah didesak oleh beberapa pihak untuk mengubah pendekatan tersebut berikutan siri keputusan yang buruk.
United telah kehilangan mata enam daripada lapan perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan, walaupun mereka menang dalam derbi Manchester.
“Kami bermain dengan tiga pertahanan dalam kebanyakan perlawanan. Kadang-kadang, Bruno (Fernandes) berada di posisi yang berbeza, di bahagian tengah.
“Saya tahu orang melihat tentang tiga pertahanan, tetapi saya tidak melihat perlawanan seperti itu. Kami akan menyesuaikan diri untuk setiap lawan. Kami memerlukan masa,” kata Amorim semasa sidang media perlawanan, kelmarin.
Amorim turut bersedia melepaskan Joshua Zirkzee dan pengurus itu mahu menggunakan jendela perpindahan Januari ini untuk membenarkan penyerang berusia 23 tahun itu mencari kelab baharu.
Penyerang Belanda itu telah dikeluarkan pada minit ke-33 ketika menentang Newcastle di Old Trafford dan beberapa penyokong United mencemuh Zirkzee kerana prestasi buruknya.
Penyerang itu dikaitkan untuk kembali ke Serie A dengan Juventus disebut-sebut sebagai majikan yang mahu mendapatkan khidmatnya.