Dua wanita meninjau mesin layan diri kucing peliharaan di sebuah pusat beli-belah di China.
CHINA: mencetus idea aneh mengeluarkan mesin layan diri menjual kucing untuk dijadikan haiwan peliharaan pertengahan tahun lalu yang mula dikesan di bandar sibuk seperti Beijing dan Shanghai.
Menurut Utusan Malaysia, di dalam pusat beli-belah besar di Shanghai, dapat dilihat deretan rak yang dipenuhi dengan kucing comel, termasuk daripada baka mahal dan spesies kacukan yang biasanya dijual pada harga premium.
Tetapi haiwan itu dikatakan diberikan ‘percuma’ kepada sesiapa yang mahu memeliharanya.
Apa yang perlu pelanggan lakukan adalah menghubungi nombor tertera, menandatangani kontrak dan membawa kucing comel itu pulang.
Peminat haiwan itu terutamanya kanak-kanak pasti sukar untuk menahan diri melihat anak kucing comel mengiau ke arah mereka dari dalam kotak mesin layan diri ini seakan merayu untuk dibawa pulang.
Mesin aneh itu awalnya mendapat liputan media di seluruh dunia yang teruja melihatnya.
Bagaimanapun ia mula mengundang perdebatan hangat dalam talian sejak beberapa bulan lalu.
Orang ramai marah kerana setiap kucing dipamerkan dalam bekas lutsinar yang kecil dan terlalu sempit untuk haiwan itu bergerak atau berpusing.
Menurut laporan baru-baru ini oleh beberapa saluran berita China, model perniagaan itu turut mempunyai sisi yang lebih gelap.
Mereka yang mengambilnya akan mendapat invois bulanan untuk makanan kucing dan produk untuk penjagaan haiwan itu.
Akhbar China Youth Daily baru-baru ini melaporkan kes Yuan, seorang penduduk Shanghai yang jatuh cinta dengan anak kucing baka ‘American Shorthair’ berusia tiga bulan di pusat beli-belah Global Harbour.
Kucing itu sangat comel sehingga dia menandatangani kontrak untuk membawanya pulang, sebelum menyedari ada kos bulanan wajib yang perlu dibelanjakan.
Dia terpaksa membayar 800 yuan (RM492) untuk makanan dan pasir selama 24 bulan, yang menjadikan kucing itu beberapa kali ganda lebih mahal daripada membelinya daripada penternak.
“Anak kucing itu sangat comel sehingga kami menandatangani kontrak dan membawanya pulang. Tetapi harga bekalan yang mereka sediakan terlalu mahal malah bukan daripada jenama terkenal,” kata Yuan.
Kes serupa dilaporkan apabila seorang wanita dilaporkan berhutang AS$750 (RM3,359) kerana yuran bulanan wajib walaupun kucing yang diambilnya mati tanpa diduga beberapa bulan lalu.
Wanita itu sudah menandatangani perjanjian yang menyatakan pemilik tidak boleh menamatkan kontrak jika haiwan peliharaan itu mati atau hilang dalam masa dua tahun.
Pengendali mesin layan diri itu mengakui membenarkan syarat sedemikian dan terus mempertahankan model berkenaan sebagai langkah keselamatan bagi melindungi kebajikan haiwan tersebut.
“Tujuan utama ini adalah untuk mengelakkan orang ramai daripada menganiaya atau meninggalkan kucing sebaik sahaja mereka membawanya pulang,” kata seorang pekerja kedai haiwan peliharaan kepada News Weekly.