Anggota sukarelawan membantu jemaah haji warga emas yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Iskandar Muda di Blang Bintang, wilayah Aceh pada 10 Julai 2024.
JAKARTA: Kementerian Agama Indonesia memaklumkan sedang menunggu surat rasmi daripada Kerajaan Arab Saudi berhubung sekatan ke atas jemaah warga emas yang dibenarkan menunaikan haji.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Haji dan Umrah, Hilman Latief berkata, kerajaan Arab Saudi bercadang mengehadkan kemasukan jemaah haji yang berumur 90 tahun ke atas.
“Mungkin jumlahnya tidak banyak, tetapi menurut informasi terkini yang kami terima, Arab Saudi tidak lagi memberi kebenaran kepada jemaah yang berusia lebih daripada 90 tahun.
“Surat itu akan dihantar tidak lama lagi,” kata Hilman dalam pertemuan dengan Jawatankuasa Kerja Pelaksanaan Haji 1446 Hijriah/2025 kelmarin.
Setakat ini, menurutnya, Indonesia masih menghantar jemaah haji warga emas yang mencapai usia 100 tahun.
Selain itu, Hilman mendedahkan, kerajaan Arab Saudi juga bercadang untuk mengehadkan bilangan jemaah haji warga emas di antara umur 70 atau 80 tahun ke atas.
Bagaimanapun, beliau menegaskan Kementerian Agama akan memastikan bahagian kuota warga emas kekal mengikut keutamaan.
“Peratusan jemaah haji warga emas antara umur 70 atau 80 tahun ke atas juga akan ada hadnya. Tetapi kita ada keutamaan 10 peratus untuk warga emas, jadi jumlahnya akan kita semak semula jika surat rasmi tentang perkara ini diterima,” tambahnya.
Sebagai langkah awal, Kementerian Agama bersama pasukan pusat kesihatan sedang menganalisis data berhubung jemaah yang sakit dan meninggal dunia ketika menunaikan haji termasuk melihat peringkat umur mereka dalam menghadapi dasar baharu itu.
Pada musim haji 2025, rombongan pertama jemaah haji Indonesia dijadualkan terbang ke Arab Saudi dari 2 hingga 16 Mei.
“Waktu wukuf di Arafah pada 5 Jun, jadi jemaah akan bertolak ke Arafah pada 4 Jun 2025. Aidiladha akan disambut pada 6 Jun ketika 10 Zulhijah. Mudah-mudahan tahun ini tiada pergeseran tarikh,” katanya.