Manchester United terpaksa menggembleng tenaga sedia ada sekiranya pihak pengurusan enggan membeli pemain baharu pada Januari ini.
LONDON: Pengurus Manchester United, Ruben Amorim memberi bayangan tiada pemain baharu yang akan dibawa masuk pada jendela perpindahan bulan ini untuk menguatkan The Red Devils.
Menurut Utusan Malaysia, perkembangan tersebut pastinya menjadi perkhabaran ‘buruk’ buat peminat setia United kerana ketika ini, anak-anak buah Amorim sedang bergelut dengan prestasi dan mengharapkan nafas baharu.
Amorim berkata, United tidak menyediakan dana dan sekiranya mahu mendapatkan pemain baharu, kelab berkenaan perlu menjual pemain sedia ada dalam pasukan untuk mencari sumber tambahan.
“Kami tidak mempunyai kemungkinan itu (membeli pemain baharu) pada Januari jika kami tidak menjual beberapa pemain terlebih dahulu.
“Anda lebih tahu situasi ini daripada saya. Saya tidak boleh hadir ke sini dan membelanjakan wang (untuk membeli pemain baharu),” katanya selepas kekalahan kepada Newcastle United.
Kehilangan tiga mata kepada Newcastle United merupakan satu lagi aksi menyedihkan buat United musim ini menyebabkan pasukan berkenaan kini berada di kedudukan ke-14 dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
The Red Devils hanya mencatatkan tujuh kemenangan daripada 19 perlawanan terakhir dan mereka bakal berdepan tugas lebih getir menentang pendahulu EPL, Liverpool pada Ahad ini.
Jika mereka tidak dapat bangkit dalam baki perlawanan akan datang, United berkemungkinan besar terjerumus ke zon penyingkiran dan menjadi musim terburuk dalam sejarah.
Kehadiran pemain baharu sudah tentu sangat diperlukan Amorim yang mahu memperkuatkan pasukan dan menyesuaikan pemain dengan corak taktikalnya.