Muammar Gadafi
KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Tamparuli, Muammar Gadafi hari ini mengecam tindakan segelintir pelajar yang mendakwa mewakili mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) kerana cuba memfitnah Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Menurut Muammar, tuduhan yang dilemparkan terhadap Hajiji, termasuk desakan agar beliau meletakkan jawatan, adalah tidak berasas dan hanya bertujuan untuk mencemarkan reputasi pemimpin tersebut.
“Kebodohan paling nyata ialah apabila seseorang yang telah melihat kebenaran, masih memilih untuk mempercayai kebohongan,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah bahawa Hajiji adalah seorang pemimpin yang telah terbukti bersih dan berwibawa, dengan rekod cemerlang sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Hajiji tidak pernah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), apatah lagi dikaitkan dengan sebarang tuduhan rasuah. Ini jelas membuktikan integriti beliau sebagai pemimpin yang bersih dan komited terhadap kemajuan Sabah,” katanya.
Muammar menyifatkan tindakan segelintir pihak ini sebagai usaha untuk memecahbelahkan perpaduan rakyat Sabah dan menjejaskan kestabilan politik negeri.
“Rakyat Sabah perlu bijak menilai dan tidak mudah terpengaruh dengan manipulasi politik yang hanya merugikan kita semua. Tuduhan palsu ini hanya membuktikan niat pihak berkepentingan untuk merosakkan keharmonian negeri,” tambahnya.
Beliau menyeru rakyat Sabah untuk terus bersatu menyokong Hajiji, yang dianggap sebagai pemimpin berintegriti tinggi dan bebas daripada sebarang skandal.
“Kekuatan Sabah terletak pada kesatuan kita. Bersama-sama, kita boleh membina masa depan yang lebih gemilang dengan menyokong pemimpin yang benar-benar berjuang untuk rakyat,” katanya.
Hajiji telah menunjukkan komitmen berterusan dalam memastikan pembangunan dan kemakmuran negeri. Beliau kekal sebagai simbol kestabilan politik Sabah di tengah-tengah cabaran politik dan ekonomi yang melanda negara.


































