KOTA BELUD: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui 10 agensi di bawahnya telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM700.93 juta kepada 50,879 usahawan dan koperasi dalam tempoh Januari hingga November 2024.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, agensi-agensi yang terlibat ialah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN Nasional, Bank Rakyat, SME Bank, SME Corp, Pernas dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
“Selain itu, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) juga telah melaksanakan 41 program latihan dan bimbingan keusahawanan di Sabah pada tahun 2024 yang memberi manfaat kepada 1,585 usahawan.
“KUSKOP telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan intervensi bagi membantu memecut momentum kejayaan berterusan untuk melonjakkan prestasi usahawan dan koperasi di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Santuni MADANI KUSKOP bersama Komuniti Kota Belud Sempena Majlis Rumah Terbuka Krismas Kadamaian 2024, di Dewan Kadamaian Square, di sini, hari ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Pada majlis itu Ketua Menteri melancarkan Program Khas kementerian Ehsan@KUSKOP bagi membantu usaha menoktahkan kemiskinan di Sabah.
Ewon berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, semua agensi di bawah KUSKOP akan bertindak di bawah satu sinergi dan juga gerak kerja untuk memastikan usaha serta inisiatif yang dirancang berjalan lancar.
Beliau berkata, bagi tahun 2025, beliau terus beriltizam melaksanakan program dan inisiatif keusahawanan dengan penuh komited dan bertanggungjawab memastikan kelangsungan usahawan PMKS dan koperasi di Sabah mendapat bantuan sewajarnya.
“Saya juga berharap agar kerjasama dengan Kementerian dan Kerajaan Negeri terus berkembang dan memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat seterusnya menghasilkan impak positif kepada semua kelompok masyarakat.
“Tanpa menjejaskan fokus sedia ada kementerian ini di seluruh negara, KUSKOP juga telah menggariskan fokus tambahan dapat diberikan kepada Malaysia Timur iaitu Sabah dan Sarawak terutamanya dalam konteks pembangunan keusahawanan.
“Oleh itu, antara inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh KUSKOP khususnya untuk usahawan PMKS di Sabah ialah Projek Premis Tamu Desa, Skim Pembiayaan Usahawan Tamu dan Geran Usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak di bawah Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) PLUS,” katanya.
Beliau berkata, dari aspek mekanisme penyelarasan, KUSKOP telah mengukuhkan kerjasama dengan Kerajaan Sabah melalui pembentukan Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Sabah dan Majlis Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Daerah.
Di samping itu, katanya, bagi meningkatkan capaian maklumat, agensi-agensi KUSKOP seperti INSKEN, Pernas, Bank Rakyat, TEKUN Nasional dan SKM telah membuka dan meningkatkan bilangan cawangan agensi masing-masing di Sabah.
“Ini termasuk cadangan pembukaan hab PMKS di Sabah oleh SME Corp, pada tahun depan,” katanya.
Sementara itu, Ewon yang juga ADUN Kadamaian turut melancarkan mesin ATM Bank Rakyat di Taginambur untuk memberikan kemudahan kepada rakyat Kadamaian.
Mesin ATM Bank Rakyat yang terletak di Tag Valley Taginambur Kota Belud itu adalah yang pertama di kawasan Kadamaian dan keenam di seluruh Kota Belud.
Ewon berkata, pengwujudan mesin ATM Bank Rakyat di kawasan Kadamaian bukan sahaja memberi kemudahan kepada penduduk setempat tetapi dapat merancakkan sektor ekonomi kawasan ini.
“Ini adalah mesin ATM Bank Rakyat yang pertama di Kadamaian dan sememangnya sudah lama ditunggu-tunggu oleh masyarakat. Mereka tidak perlu lagi ke Pekan Kota Belud untuk mengeluarkan wang daripada mesin ATM kerana, ia sudah ada di kawasan Pekan Taginambur,” katanya.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud dan ketua-ketua agensi KUSKOP.
Sementara itu seorang penduduk Kg.Tambulaung, Johnny Gilong menyambut baik pengwujudan mesin ATM Bank Rakyat di Tag Valley dan menyifatkannya sebagai satu perkembangan besar bagi Kadamaian.
“Ini satu perkembangan yang besar kerana selama ini belum ada mesin ATM Bank Rakyat di kawasan ini.
“Terima kasih kepada Bank Rakyat, terutamanya ADUN Kadamaian atas inisiatif menyediakan kemudahan yang amat diperlukan penduduk bukan sahaja kawasan Taginambur tetapi Kadamaian, Kota Belud.
“Taginambur sejauh 16 km dari Pekan Kota Belud dan tidak perlu lagi kami ke sana setakat untuk mengeluarkan wang, kerana Taginambur pun sudah ada Mesin ATM,” katanya.
Penduduk Kg.Kiau, Sharon Lun Johny dan Bshenichie Faungin turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Bank Rakyat kerana menyediakan perkhidmatan Mesin ATM di kawasan Kadamaian.
“Saya percaya ini adalah usaha YB Datuk Ewon yang begitu prihatin terhadap keperluan masyarakat Kadamaian.
“Ia bukan sahaja memudahkan penduduk setempat untuk mengeluarkan wang di Mesin ATM tetapi juga kepada para pelancong dan pengunjung di sini,” katanya.
Ewon juga komited meneruskan kepimpinan di kawasan Kadamaian dan menyempurnakan Pelan Pembangunan Kadamaian.
Beliau berkata, wawasannya sebagai wakil rakyat Kadamaian adalah membangunkan kawasan ini berasaskan dua sektor ekonomi utama iaitu pertanian dan pelancongan serta penyediaan atau penaiktarafan kemudahan infrastruktur asas serta bidang keusahawanan desa.
“Oleh itu, Pelan Pembangunan Kadamaian 2020 – 2035 yang telah dibangunkan daripada aspirasi masyarakat Kadamaian menjadi rujukan kepada semua kementerian, agensi dan jabatan kerajaan untuk membawa pembangunan yang lebih pesat dan sistematik di kawasan ini.
“Di bawah Pelan ini, beberapa projek dan inisiatif seperti Projek Tamu Desa dan Projek Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ), telah dilaksanakan atas usaha gigih pelbagai pihak yang akhirnya memberi manfaat kepada penduduk setempat.
“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan pelan pembangunan ini, seterusnya membawa perubahan positif kepada komuniti setempat,” katanya.
Ewon berharap semua keperluan dan keutamaan rakyat Kadamaian yang telah dimasukkan dalam Pelan Pembangunan Kadamaian 2020-2025, dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Ketika ditemui pemberita kemudian, Ewon berkata, beliau menghargai pertimbangan dan seterusnya kelulusan seperti yang diumumkan Ketua Menteri dalam ucapan pada majlis itu mengenai permohonan rakyat Kadamaian.
“Saya menghargai pertimbangan dan seterusnya kelulusan daripada Ketua untuk meneruskan penaiktarafan kawasan ekonomi desa atau pusat tamu Kadamaian di Taginambur sebanyak RM1 juta.
“Kita akan membina tempat letak kereta yang lebih luas di kawasan ini dan juga membina atap sebahagian kawasan ini yang tidak mempunyai atap untuk memberi keselesaan kepada ibu-ibu yang berjualan di sini. Ini adalah permohonan ibu-ibu yang berjualan di sini.
“Manakala RM500,000 pula adalah untuk membina sebuah dewan komuniti Kampung Tambulaung kerana kawasan ini dulu milik mereka tetapi diserahkan kepada Majlis Daerah Kota Belud.
“Apabila mereka ingin menggunakannya, mereka terpaksa membayar sewa. Sebab itu permohonan mereka wajar diberi perhatian sebagai sumbangan semula atau ehsan mereka menyerahkan kawasan ini untuk dibangunkan sebagai pusat tamu,” katanya.
Mengenai majlis itu, Ewon berharap sambutan seumpama ini dapat memperkasakan lagi hubungan persaudaraan, persahabatan, perpaduan dan perpaduan di kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama.






























