Orang ramai tidak melepaskan peluang melawat kediaman pasangan suami isteri, Charles dan Christe.
BUTTERWORTH: Salji buatan menjadi tarikan hiasan terbaharu di kediaman pasangan suami isteri Charles Dorney, 52, dan Christe Samasundram, 47, yang tular susulan dekorasi kreatif bertemakan perayaan Krimas sekali gus memukau kehadiran pengunjung di Taman Teluk Molek, di sini.
Menurut Utusan Malaysia, Charles berkata, sesi salji buatan yang bermula semalam mendapat reaksi positif orang ramai yang ternyata teruja apabila berpeluang bergambar bersama keluarga dan rakan-rakan.
“Sebenarnya, ada pengunjung mencadangkan supaya tambah salji buatan supaya nampak lebih hidup dan menarik. Kebetulan, mesin khas ini sampai dua hari lepas dan kita akan buat sesi snowflakes ini sebanyak tiga sesi iaitu pukul 8 malam, 9 malam dan 9.30 malam.
“Orang yang datang memang semakin ramai memandangkan cuti sekolah bermula dan kami sekeluarga gembira kerana dapat sama-sama berkongsi keceriaan sempena Hari Krismas,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.
Setakat ini, pasangan suami isteri ini membelanjakan lebih RM11,000 untuk menghias kediaman mereka dengan dekorasi lampu bergemerlapan, pokok krismas serta patung angin Santa Claus.
Sementara itu, Christe berkata, beliau turut meminta bantuan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi mengawal laluan masuk kediaman bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di taman perumahan terbabit.
“Kami bersyukur kerana setakat ini, pengunjung juga baik dan bijak memainkan peranan dalam mengawal anak-anak malah tidak ada perhiasan yang rosak atau tertanggal sama ada di hadapan atau pekarangan rumah kami.
“Memang seronok bila tengok ramai pengunjung berbilang kaum datang dan menyemarakkan lagi keharmonian antara rakyat Malaysia,” katanya.
Tambahnya, sebanyak 250 goodie bag turut akan disediakan khusus buat kanak-kanak yang hadir pada hari ini bagi menyemarakkan semangat perayaan sekali gus berkongsi kegembiraan sempena Hari Natal.
































