BANGKOK: Pegawai Biro Siasatan Jenayah Siber (CCIB) menahan seorang lelaki Malaysia dan isteri warga Thailand di sebuah rumah mewah di Bangkok kerana disyaki menjalankan operasi pengubahan wang haram untuk laman web perjudian.
Menurut Utusan Malaysia, Pembantu Pesuruhjaya Polis Diraja Thailand (RTP), Thatchai Pitaneerabut dan pemangku Pesuruhjaya CCIB, Trairong Phewphan bersama 20 pegawai lain menyerbu tujuh lokasi mencurigakan di Bangkok dan wilayah berdekatan untuk mencari suspek terlibat dalam pengubahan wang haram.
Semasa serbuan di rumah mewah di kawasan Ratchaphruek Bangkok, pegawai menahan dua suspek yang dikehendaki, seorang lelaki warga Malaysia, Kim Lim Hao dan isterinya, warga Thailand dikenali sebagai Pattama.
Thatchai memberitahu Channel 7 selepas penahanan bahawa pasangan itu menyewa rumah mewah berkenaan untuk dijadikan pejabat syarikat mereka.
Syarikat itu telah didaftarkan secara sah dan mengendalikan pelbagai perniagaan, termasuk tempat hiburan dan restoran di Bangkok dan wilayah lain.
Bagaimanapun, siasatan mendapati beberapa perniagaan itu tidak pernah beroperasi dan tidak menjana keuntungan.
Pemeriksaan lanjut terhadap kewangan syarikat menunjukkan bahawa ia menerima dana daripada pelbagai perniagaan lain, membawa kepada lebih 1 bilion baht (RM1.3 juta) dalam edaran.
Pegawai mendapati beberapa perniagaan yang memindahkan wang kepada syarikat itu dikaitkan dengan operasi penipuan.
Polis percaya syarikat itu melakukan pengubahan wang haram untuk beberapa laman web perjudian dan juga memudahkan aktiviti haram untuk pelbagai kumpulan penipuan pusat panggilan.
Lelaki Malaysia itu dapat mendaftarkan syarikat berkenaan secara sah dengan bantuan isteri warga Thailandnya, yang memegang 51 peratus saham manakala dia memegang 49 peratus lagi.
Wanita Thailand itu mendakwa suaminya membayarnya lebih 100,000 baht (RM13,011) sebulan tetapi menegaskan dia tidak tahu mengenai operasi syarikat itu atau aktiviti haramnya.
Semasa menggeledah rumah mewah itu, polis merampas beg tangan berjenama, jam tangan, barang berharga, azimat, dan wang tunai 4 juta baht (RM520,360).
Pihak berkuasa bakal menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti kaitan dengan kumpulan penipuan lain yang terlibat dalam operasi pengubahan wang haram.






























