PUTATAN: Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir. Shahelmey Yahya yang juga ADUN Tanjung Keramat telah melakukan tinjauan santai ke Apartmen Pasir Putih Fasa 3, hujung minggu lalu.
Tinjauan ini diadakan semasa kira-kira 100 penduduk dan keluarga menjalankan gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran apartmen sebagai usaha membasmi pembiakan nyamuk aedes.
Aktiviti ini dilaksanakan susulan berlakunya wabak demam denggi di Taman Pasir Putih Fasa 1, yang terletak tidak jauh dari apartmen tersebut.
Atas kesedaran penduduk yang pernah mengalami wabak serupa, Jawatankuasa Kemasyarakatan Dalam Bandar (JKDB) Pekan Putatan bersama penduduk apartmen telah mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan gotong-royong ini.
Aktiviti tersebut bertujuan mencegah penularan wabak denggi di kawasan apartmen yang mempunyai 352 unit rumah dan didiami ramai penduduk.