KUALA LUMPUR: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman menjalankan siasatan berhubung 12 anggota polis yang ditahan kerana berkunjung ke pusat hiburan di ibu negara, baru-baru ini.
Menurut Utusan Malaysia, operasi pada 12 Disember lalu itu dijalankan Cawangan Risikan Operasi JIPS Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju.
Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, seramai 198 orang telah diperiksa sepanjang operasi berkenaan.
Katanya, semakan mendapati seramai 12 daripada mereka merupakan anggota polis, lapan penjawat awam dan selebihnya orang awam.
“Ujian air kencing yang dilakukan mendapati seramai 12 anggota polis ini negatif dadah.
“Selain itu, empat orang awam didapati positif dadah serta seorang berstatus dikehendaki bersabit kes penipuan iaitu Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tegasnya, pihaknya masih menjalankan lanjut di peringkat jabatan masih dijalankan terhadap 12 anggota terbabit.
“Kes masih dalam siasatan dan akan mengambil tindakan tatatertib sekiranya didapati bersalah. Siasatan juga dilakukan bagi mengesan jika terdapat kesalahan-kesalahan dilakukan,” ujarnya.
Pada Julai lalu, media melaporkan seramai 1,671 pegawai dan anggota polis dikenakan tindakan hukuman buang kerja atas pelbagai kesalahan sejak 2014 hingga Jun.
Dalam tempoh itu juga, 15,546 pegawai dan anggota dikenakan pelbagai hukuman tatatertib, dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga membuka serta melaksanakan siasatan yang membabitkan 40,436 kertas siasatan tatatertib (KST) dan kertas enkuiri tatatertib (KET).


























