AVIGNON: Mahkamah Perancis menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun terhadap bekas suami Gisele Pelicot kerana melakukan dan mengatur rogol besar-besaran yang menggemparkan negara.
Menurut Utusan Malaysia, Dominique Pelicot, 72, didapati bersalah terhadap semua pertuduhan oleh hakim di Avignon, selatan Perancis, dan menangis ketika mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum.
Pada November 2020, Dominique mengaku memberi dadah kepada isterinya selama hampir sedekad dan merekrut berpuluh-puluh lelaki dalam talian untuk merogol wanita itu di rumah mereka ketika dia tidak sedarkan diri.
Polis menjejaki tertuduh melalui beribu-ribu video yang mereka temui pada komputer riba Dominique dan pasukan penyiasat mempunyai bukti kira-kira 200 insiden rogol yang dilakukan antara 2011 dan 2020 terhadap Gisele.
Dominique dibicarakan bersama 50 defendan lain, yang kesemuanya disabitkan bersalah oleh mahkamah dengan tiada seorang pun dibebaskan.
Sabitan itu menamatkan perbicaraan kes rogol terbesar dalam sejarah Perancis, yang berlangsung selama tiga bulan dan mengejutkan negara serta dunia.
Pelicot menjadi wira feminis kerana memilih pendengaran awam dalam kesnya dan bukan perbicaraan secara tertutup, walaupun kandungan perbicaraan itu mengaibkan.
Definisi undang-undang Perancis mengenai rogol menyatakan sebarang tindakan penetrasi seksual melalui kekerasan, paksaan atau kejutan, tetapi tidak memasukkan elemen persetujuan yang menjadi tuntutan utama daripada kumpulan hak wanita khususnya sejak gerakan MeToo dimulakan pada akhir 2010-an.