KOTA KINABALU: Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baharu dilantik, Tun Musa Aman, selamat tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) tengah hari tadi.
Pesawat khas yang membawa Tun Musa mendarat sekitar jam 12 tengah hari, disambut oleh lebih kurang 3,500 penyokong yang berkumpul untuk menyambut ketibaannya.
Tun Musa secara rasmi menerima watikah pelantikan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dalam satu majlis diadakan di Istana Negara, Putrajaya, kelmarin.
Sejurus Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan, Tun Musa turut menerima pengurniaan darjah kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N) yang membawa gelaran Tun.
Dilahirkan pada 30 Mac 1951 di Beaufort, pemimpin berusia 73 tahun ini memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Edith Cowan, Australia. Beliau pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Sibuga selama enam penggal (1994–2020) dan memegang beberapa jawatan penting, termasuk Menteri Kewangan Sabah, Menteri di Jabatan Ketua Menteri, dan Konsul Kehormat Malaysia ke Bangladesh.
Tun Musa adalah Ketua Menteri Sabah ke-14, memegang jawatan tersebut mulai 27 Mac 2003 dan berkhidmat selama lima penggal berturut-turut sehingga 12 Mei 2018, menjadikannya Ketua Menteri paling lama berkhidmat dalam sejarah Sabah. Sumbangan beliau dalam pentadbiran dan kepimpinan telah mendapat pengiktirafan meluas.
Tempoh perkhidmatan Tun Musa sebagai Ketua Negara Sabah ke-11 akan bermula secara rasmi pada 1 Januari 2025 dan berakhir pada 31 Disember 2028. Beliau menggantikan Tun Juhar Mahiruddin, yang tempoh perkhidmatannya tamat pada 31 Disember 2024.


































