Beberapa penduduk memeriksa kemusnahan rumah akibat taufan Chido yang melanda wilayah Lautan Hindi Perancis di Mayotte, pada Ahad lalu.
PARIS: Sekurang-kurangnya beberapa ratus orang dikhuatiri maut selepas taufan terburuk dalam hampir satu abad melanda wilayah Lautan Hindi Perancis di Mayotte, Sabtu lalu.
Menurut Utusan Malaysia, pasukan penyelamat dihantar ke pulau-pulau tersebut, yang terletak antara pantai Mozambique dan Madagascar, tetapi usaha itu mungkin terhalang oleh kerosakan lapangan terbang dan sistem elektrik di kawasan yang sering mengalami kekurangan air bersih.
Pegawai kanan tempatan, Francois-Xavier Bieuville mengesahkan 14 kematian setakat ini, dan menjangkakan meningkat mendadak dalam beberapa hari akan datang.
“Saya pasti akan ada beberapa ratus, mungkin mencapai seribu, bahkan beberapa ribu (kematian),” katanya.
Bieuville berkata, sangat sukar untuk pihaknya mendapatkan jumlah kematian yang tepat, memandangkan kebanyakan penduduk adalah beragama Islam dan lazimnya mayat mereka akan dikebumikan dalam tempoh 24 jam.
Taufan Chido melanda Mayotte dengan kelajuan angin sehingga 200 kilometer sejam (kmj), merosakkan rumah, bangunan kerajaan dan hospital.
Ia merupakan ribut terkuat dalam tempoh lebih 90 tahun yang melanda pulau-pulau tersebut, menurut ramalan cuaca.
Terletak hampir 8,000 kilometer dari Paris, Mayotte jauh lebih miskin berbanding dengan bahagian Perancis yang lain dan berdepan keganasan kumpulan serta pergolakan sosial selama beberapa dekad.
Lebih tiga perempat daripada penduduk Mayotte hidup di bawah garis kemiskinan Perancis, dengan ketegangan meningkat awal tahun ini oleh kekurangan air.
Bencana itu merupakan cabaran pertama yang dihadapi Perdana Menteri, Francois Bayrou, beberapa hari selepas beliau dilantik oleh Presiden Perancis, Emmanuel Macron berikutan kejatuhan kerajaan terdahulu.


































