Tun Musa Aman
KOTA KINABALU: Tun Musa Haji Aman yang secara rasmi dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11 hari ini berkata, beliau menerima pelantikan tersebut dengan penuh rasa bangga.
Beliau berharap dapat terus berkhidmat untuk negeri dan rakyat dalam kapasiti saya sebagai Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah.
“Saya menerima pelantikan ini dengan penuh rasa bangga dan berharap dapat terus berkhidmat untuk negeri dan rakyat dalam kapasiti saya sebagai Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Pelantikan ini telah diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dalam satu upacara yang berlangsung di Istana Negara hari ini.
Tun Musa melahirkan rasa syukur atas kepercayaan yang diberikan kepadanya. “Ini merupakan satu penghormatan besar kerana Seri Paduka Baginda telah memberi kepercayaan kepada saya dengan pelantikan ini serta tanggungjawab yang menyertainya.”
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor atas keyakinan mereka dalam mencadangkan namanya untuk memegang jawatan yang begitu dihormati ini.
Tun Musa, 73, merupakan bekas Ketua Menteri Sabah menggantikan Tun Haji Juhar Mahiruddin yang akan tamat tempoh perkhidmatannya pada 31 Disember ini, selepas memegang jawatan berkenaan sejak 2011, menjadikannya TYT paling lama berkhidmat setakat ini.
Beliau pernah menyandang jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga.
Tun Musa dijadual menyempurnakan Istiadat Lafaz Sumpah Jawatan Yang di-Pertua Negeri Sabah dan menandatangani Surat Cara Angkat Sumpah Jawatan di Dewan Istiadat Istana Seri Kinabalu, Kota Kinabalu pada 1 Januari 2025.


































