LA PAZ: Ratusan bangunan di pinggir tebing curam di El Alto, Bolivia, digelar sebagai ‘rumah bunuh diri’ kerana kedudukannya yang sangat berbahaya dan terdedah kepada tanah runtuh.
Menurut Utusan Malaysia, bangunan ini terletak di Avenida Panorámica dan La Ceja, kawasan komersial sibuk di El Alto.
Meskipun hujan lebat baru-baru ini meningkatkan risiko tanah runtuh, para penghuni, termasuk peniaga dan dukun tempatan yang dikenali sebagai yatiri, enggan berpindah kerana ia merupakan lokasi penting bagi sumber rezeki mereka.
“Kami akan menjaga tanah ini, terutamanya mengalirkan air hujan supaya ia tidak terus menghakis tebing,” kata seorang yatiri.
Menurut Setiausaha Perbandaran, Pengurusan Alam Sekitar dan Risiko, Gabriel Pari, pihak berkuasa telah mengeluarkan arahan supaya penduduk mengosongkan kawasan itu kerana runtuhan semakin hampir.
“Lembah ini memiliki cerun 90 darjah, dan itulah sebabnya kami mahu mereka meninggalkan tempat ini dan jika mereka enggan berpindah, kami mungkin terpaksa menggunakan kuasa undang-undang,” katanya lagi.
Rumah-rumah ini, yang dibina daripada bata dan beratap zink, sangat penting bagi para yatiri.
Mereka percaya ia mempunyai nilai spiritual yang tinggi dan mencadangkan upacara persembahan kepada Pachamama, dewi yang dihormati masyarakat pribumi Andes, untuk menstabilkan tanah.
Kedudukan rumah-rumah itu telah lama berisiko, namun hujan lebat dan perubahan iklim dilihat mempercepatkan hakisan tanah dan meningkatkan kemungkinan berlakunya runtuhan.
Meskipun bahaya semakin nyata, penduduk masih berpegang pada kepercayaan mereka dan enggan meninggalkan kawasan itu, walaupun nyawa mereka berisiko melayang.






























