Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menyerahkan Surat Cara Pelantikan kepada Musa.
KOTA KINABALU: Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Tun Musa Haji Aman sebagai Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri Sabah yang baharu, bermula 1 Januari 2025.
Istiadat pengurniaan itu berlangsung di Singgahsana Kecil, Istana Negara, Kuala Lumpur, turut disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Haji Fadillah Haji Yusof, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Haji Kadzim Haji M. Yahya, Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Sabah, Datuk Seri Sr. Haji Safar Untong dan Peguam Besar Negeri, Datuk Brenndon Keith Soh.
Sejurus Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan, Tun Musa turut menerima pengurniaan darjah kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N) yang membawa gelaran Tun.

Tun Musa, 73, merupakan bekas Ketua Menteri Sabah menggantikan Tun Haji Juhar Mahiruddin yang akan tamat tempoh perkhidmatannya pada 31 Disember ini, selepas memegang jawatan berkenaan sejak 2011, menjadikannya TYT paling lama berkhidmat setakat ini.
Tun Musa pernah menyandang jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga.
Tun Musa dijadual menyempurnakan Istiadat Lafaz Sumpah Jawatan Yang Di-Pertua Negeri Sabah dan menandatangani Surat Cara Angkat Sumpah Jawatan di Dewan Istiadat Istana Seri Kinabalu, Kota Kinabalu pada 1 Januari 2025.






























