LONDON: Idea pembinaan sebuah terowong dasar laut hypersonik yang mampu menghubungkan London dan New York dalam tempoh hanya sejam dijangka bakal menjadi kenyataan.
Menurut Utusan Malaysia, projek futuristik yang digelar ‘Transatlantic Tunnel’ dijangka mampu mencapai kelajuan sehingga 4,828 kilometer (km) sejam dan berpotensi merevolusikan pengangkutan antarabangsa.
Bagaimanapun, kos pembinaan yang dianggarkan mencecah 16 bilion pound (RM90 bilion) menjadikan projek ini sebagai salah satu usaha paling mencabar dalam sejarah kejuruteraan dunia.
Projek berasaskan teknologi tiub vakum itu dicetuskan oleh Jutawan terkenal, Elon Musk.
Konsep ini melibatkan penggunaan kapsul tekanan tinggi yang bergerak dalam terowong vakum, membolehkan kelajuan tinggi dicapai tanpa rintangan udara.
“Dengan teknologi ini, perjalanan antara dua bandar utama boleh dipendekkan daripada lapan jam penerbangan kepada hanya sejam lebih,” jelas laporan Newsweek.
Menurut pakar, sistem itu juga menawarkan alternatif pengangkutan yang lebih efisien dan mesra alam berbanding penerbangan udara.
Negara seperti India dan China kini sedang menjalankan percubaan teknologi ini dengan matlamat untuk mengintegrasikannya ke dalam rangkaian kereta api laju negara masing-masing.
Namun, pakar berpendapat pembinaan terowong sepanjang Lautan Atlantik mungkin tidak dapat disaksikan dalam masa terdekat kerana dijangka memerlukan lebih 782 tahun untuk disiapkan.
Walaupun teknologi ini kelihatan seperti idea daripada novel sains fiksyen, perkembangan pesat dalam kejuruteraan menunjukkan era pengangkutan hypersonik mungkin lebih hampir daripada yang dijangkakan.