Hajiji dan pemimpin Gagasan Rakyat lain bergambar kenangan bersama 16 orang pelajar dari Pusat Jagaan Woorijib St. Francis Xaview Kampung Potuki.
KOTA KINABALU: Perayaan Krismas dan Tahun Baru Cina peringkat negeri akan dikendalikan secara rasmi oleh Kerajaan Negeri bermula tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, ini merupakan kali pertama Kerajaan Negeri mengambil alih penganjuran perayaan tersebut, yang sebelum ini tidak pernah dilakukan.
“Bermula tahun ini, pada Februari yang lalu, kita telah memulakan sambutan Tahun Baru Cina secara rasmi di peringkat negeri, yang dikendalikan oleh Kerajaan.
“Begitu juga dengan sambutan Krismas tahun ini, yang dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK). Namun, untuk sambutan Krismas tahun hadapan, kita telah memutuskan agar ia diraikan di peringkat negeri, dan penganjuran tersebut akan dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Jamuan Tengah Hari Bersama Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) sempena Krismas, di sini, kelmarin.
Mengulas lanjut, Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat menjelaskan bahawa pelaksanaan sambutan tersebut oleh Kerajaan Negeri bertujuan untuk memperkukuh semangat saling hormat-menghormati dan meraikan kepelbagaian budaya serta perayaan besar rakyat di Sabah.
“Bagi kita, meraikan kepelbagaian ini adalah sesuatu yang sangat bermakna. Ia telah menjadi amalan turun-temurun nenek moyang kita, yang sentiasa menghormati dan menyambut perayaan masing-masing.
“Kita perlu terus memupuk masyarakat berbilang kaum ini dalam suasana harmoni, terutama ketika merayakan perayaan keagamaan masing-masing.
“Inilah aspirasi yang ingin dibawa oleh Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), iaitu memberikan layanan yang adil dan saksama kepada semua rakyat Sabah tanpa mengira perbezaan agama, kaum dan etnik.
“Saya berharap, sempena Krismas dan Tahun Baru ini, kita dapat memperkukuhkan lagi persaudaraan, perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat kita,” kata Hajiji yang juga Pengerusi GRS.
































