PETALING JAYA: Suhu purata global yang terus meningkat saban tahun kini menjadi ancaman terbesar yang mencetuskan perubahan cuaca ekstrem di seluruh dunia termasuk Malaysia. Fenomena ini membawa risiko seperti banjir besar, kemarau berpanjangan dan gelombang haba yang boleh menjejaskan keselamatan rakyat dan menggugat ekonomi negara.
Menurut Utusan Malaysia, laporan Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) menunjukkan, tahun 2014 mencatatkan rekod sebagai tahun terpanas dunia dengan suhu purata global tertinggi mengatasi rekod tahun-tahun sebelumnya.
Laporan sama turut menyatakan suhu permukaan global meningkat sebanyak 1.54 darjah Celsius berbanding suhu asas pada zaman praindustri (1881-1910), menjadikannya peningkatan tertinggi dalam tempoh 145 tahun.
Selain itu, purata suhu permukaan di Semenanjung Malaysia menunjukkan peningkatan sebanyak 0.24 darjah Celsius setiap dekad, dengan purata suhu pada Mei 2024 dicatatkan pada 28.8 darjah Celsius.

Mohd. Hisham Mohd. Anip
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip, peningkatan suhu global mendatangkan bahaya besar kerana ia berupaya mencetuskan perubahan cuaca dan menjadikannya lebih ekstrem.
Malah, fenomena seperti banjir besar, kemarau melampau, ribut taufan dan gelombang haba akan menjadi lebih serius sehingga berupaya mengancam keselamatan nyawa, merosakkan infrastruktur, mengganggu sektor pertanian dan menjejaskan ekonomi negara.
Jelas beliau, walaupun perubahan iklim adalah fenomena global yang memberi kesan kepada seluruh dunia, namun kenaikan suhu purata negara kini berada pada tahap yang membimbangkan dan secara tidak langsung mencerminkan kesan pemanasan global terhadap negara ini.
“Tidak dinafikan, Malaysia sendiri mengalami kenaikan suhu purata, malah lebih tinggi daripada kenaikan suhu purata dunia. Ini kita tidak boleh nafikan.
“Bagaimanapun, laporan kenaikan suhu purata dunia menggabungkan suhu dari kawasan darat, laut dan tempat lain manakala data Malaysia hanya fokus kepada kawasan dalam negara sahaja,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia.
Mohd. Hisham berkata, pola pergerakan angin di negara ini juga menunjukkan perubahan dari segi kekuatan dan arah akibat kenaikan suhu global.
“Disebabkan pemanasan global, keadaan cuaca negara menjadi bertambah kompleks dan rumit hari demi hari. Kejadian cuaca ekstrem juga sukar untuk diramal dan ini merupakan cabaran terbesar dalam proses mencerap cuaca.
“Sebab itulah, di Met Malaysia, kami sentiasa berusaha memastikan sistem pengesanan dan pemprosesan data kekal relevan dengan teknologi dan keperluan semasa,” katanya.
JANGAN PERCAYA RAMALAN PALSU
Selain mencerap cuaca, Met Malaysia turut memikul tanggungjawab yang jauh lebih besar dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara.
Sebagai tulang belakang kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Met Malaysia berperanan penting sebagai penggerak utama dalam persediaan awal menghadapi bencana yang diramal berlaku.
Namun, Mohd. Hisham berkata, penularan maklumat tidak sahih atau berita palsu di media sosial terutamanya pada musim Monsun Timur Laut (MTL) sering menjadi cabaran utama.
Beliau menegaskan, masyarakat perlu yakin dengan Met Malaysia yang menggunakan teknologi pemantauan terkini serta data meteorologi yang telah dikumpulkan selama lebih 80 tahun.
“Ramalan cuaca dan amaran bencana yang dikeluarkan oleh Met Malaysia adalah berdasarkan analisis saintifik dan model cuaca yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Justeru, masyarakat disaran untuk mempercayai dan bergantung sepenuhnya kepada maklumat rasmi yang dikeluarkan oleh Met Malaysia, bukannya khabar angin atau ramalan tidak sahih,” tegasnya.
Katanya, data daripada Met Malaysia dapat memastikan Nadma memberikan respons yang lebih berkesan.
SOKONGAN
Selain pengurusan bencana, Met Malaysia juga memberikan sokongan penting kepada sektor utama negara seperti penerbangan dan pertanian.
“Sebagai contoh, dalam sektor pertanian, ramalan cuaca yang dikeluarkan oleh Met Malaysia membantu para petani merancang jadual penanaman dan penuaian.
“Di samping itu, amaran awal berkenaan cuaca buruk seperti banjir dan kemarau dapat melindungi hasil tanaman daripada risiko kerugian besar.
“Dalam sektor penerbangan pula, Met Malaysia menyediakan laporan cuaca harian dan ramalan khusus bagi memastikan kelancaran operasi penerbangan,” katanya.
Mohd. Hisham berkata, Met Malaysia juga bertanggungjawab memantau risiko kebakaran hutan dan menyalurkan maklumat tersebut kepada agensi pengurusan kebakaran.
“Pemantauan ini dibuat menggunakan sistem Fire Danger Rating System (FDRS) yang digunakan sebagai panduan bagi menjangkakan kelakuan dan sifat api,” katanya.
LOKASI STRATEGIK KURANG BENCANA
Malaysia jarang dilanda taufan berbanding negara jiran seperti Filipina, Jepun atau Vietnam disebabkan oleh kedudukan geografinya yang strategik berhampiran garisan khatulistiwa iaitu dalam lingkungan 0 hingga 5 darjah latitud utara dan selatan.
Jelas Mohd. Hisham, kawasan ini dianggap sebagai ‘kawasan selamat’ daripada taufan kerana beberapa faktor saintifik.
“Daya Coriolis yang menyebabkan angin berpusing dan membentuk taufan hampir tidak wujud di kawasan khatulistiwa. Tanpa daya ini, angin tidak cukup kuat untuk mencetuskan pusaran yang diperlukan bagi pembentukan taufan.
“Selain itu, angin di kawasan khatulistiwa biasanya lebih stabil dan kurang berlaku pergolakan, menjadikannya kawasan yang kurang berisiko untuk mengalami taufan secara semula jadi,” katanya.
Bagaimanapun, Mohd. Hisham berkata, taufan yang terbentuk di kawasan luar seperti Filipina atau Vietnam masih boleh memberikan kesan tidak langsung kepada Malaysia.
“Sebagai contoh, Sabah yang terletak lebih hampir kepada latitud 5 darjah utara, berpotensi menerima kesan sampingan daripada taufan yang terbentuk di kawasan berhampiran,” katanya.
Beliau berkata, walaupun Malaysia terlindung daripada taufan secara langsung, masyarakat masih perlu bersedia menghadapi fenomena cuaca ekstrem yang lain seperti hujan lebat, ribut petir dan banjir.
TERCANGGIH DI ASIA TENGGARA

Petugas Jabatan Meteorologi Malaysia bertugas 24 jam sehari, tujuh hari seminggu demi memantau cuaca negara.
Menurut Mohd. Hisham, proses pencerapan cuaca memerlukan peralatan canggih dengan keupayaan pemprosesan data yang tinggi untuk memastikan ramalan yang diperoleh adalah tepat.
“Komputer yang digunakan perlu berkuasa tinggi. Pada masa ini, sistem komputer berprestasi tinggi (HPC) kami mampu memproses data cuaca dalam tempoh 2 hingga 3 jam untuk menghasilkan ramalan.
“Ramai mungkin tidak tahu bahawa komputer milik Met Malaysia merupakan antara yang tercanggih di Asia Tenggara. Namun, teknologi ini perlu sentiasa dipertingkatkan bagi memastikan ramalan lebih tepat.
“Malah, kami merancang untuk mendapatkan komputer baharu yang lebih pantas dan mampu menjana ramalan sehingga 14 hari ke hadapan,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa rangkaian sistem pemprosesan data milik Met Malaysia beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu bagi memastikan operasi ramalan cuaca berjalan lancar.
Jelas Mohd. Hisham, sebagai negara tropika, Malaysia tidak mempunyai empat musim seperti negara barat, namun cuaca di negara ini tetap mengalami variasi sepanjang tahun.
“Pada November hingga Januari, negara menghadapi Monsun Timur Laut yang sering membawa hujan lebat dan risiko banjir.
“Februari hingga Mei pula menyaksikan musim panas dan kering dengan suhu yang boleh mencecah sehingga 40 darjah Celsius.
“Bermula Jun hingga September, hujan berkurangan, tetapi banjir kilat masih berpotensi berlaku terutamanya di kawasan bandar. Pada Oktober pula, berlaku peralihan monsun yang disertai hujan pada waktu petang yang lebih kerap,” katanya.
Menurut Mohd. Hisham, situasi ini memerlukan Met Malaysia sentiasa bersedia dengan sebarang perubahan cuaca.
Oleh itu, Met Malaysia memiliki 42 stesen meteorologi automatik utama, 250 stesen meteorologi automatik dan auksiliari serta 133 stesen meteorologi konvensional di seluruh negara bagi tujuan pencerapan.
“Selain itu, kami juga mempunyai lapan stesen udara atas dan 19 stesen radar meteorologi (doppler radar). Kami turut menerima data satelit hasil kerjasama antarabangsa dengan Jepun, China dan Korea Selatan di bawah naungan WMO,” jelasnya.
Mohd. Hisham berkata, Met Malaysia menggunakan model komputer untuk memproses data daripada pelbagai sumber. Data tersebut diperoleh bukan sahaja daripada stesen tempatan, tetapi juga stesen meteorologi di seluruh dunia.
“Data pencerapan ini kemudian diproses menggunakan formula saintifik tertentu dan berupaya menghasilkan ramalan cuaca yang boleh dibuat sehingga tujuh hari ke hadapan,” katanya.
SEDIA BERADAPTASI DENGAN PERUBAHAN CUACA
Walaupun berada dalam kedudukan geografi yang strategik dan jarang dilanda taufan, Malaysia tetap terdedah kepada pelbagai risiko cuaca akibat perubahan pola angin dan pemanasan global yang berterusan.
Oleh itu, Mohd. Hisham berkata, rakyat Malaysia perlu bersedia dan beradaptasi dengan sebarang perubahan cuaca pada masa akan datang.
“Perubahan ini memang perlahan dan mungkin memakan masa bertahun-tahun lamanya, tetapi ia tidak boleh dielakkan. Oleh itu, manusia perlu beradaptasi.
“Misalnya, jika tinggal di kawasan yang sering banjir, masyarakat perlu mempertimbangkan langkah pencegahan, mungkin dengan cara membina tembok penghalang atau berpindah ke kawasan lebih selamat,” ujarnya.
Jelasnya, Met Malaysia sentiasa mengambil langkah proaktif bagi meningkatkan kesedaran dan menyokong usaha mitigasi agar memastikan maklumat cuaca dapat dimanfaatkan untuk melindungi nyawa, harta benda, serta kesejahteraan rakyat.


































