Jordan Jude Ellron
KOTA KINABALU: Ketua Wiramuda Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH), Jordan Jude Ellron menggesa Menteri Ekonomi untuk memastikan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) berpandukan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau menegaskan bahawa rujukan kepada MA63 adalah penting bagi menjamin pengagihan dana pembangunan yang adil antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Jordan menekankan kepentingan melaksanakan peruntukan Perkara 112C dan Perkara 112D, serta Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan. Perkara 112C menyatakan bahawa Sabah berhak menerima 40 peratus hasil bersih daripada pendapatan yang diperoleh Kerajaan Persekutuan daripada negeri itu, sementara Perkara 112D memperincikan pemberian khas (special grant) yang harus disemak secara berkala untuk memenuhi keperluan semasa.
“Pelaksanaan peruntukan ini adalah langkah penting untuk memastikan Sabah menerima hak kewangan yang sewajarnya, selaras dengan kewajipan undang-undang yang termaktub dalam MA63. Pemberian khas dan pembayaran 40 peratus hasil negeri ini adalah alat utama untuk mengurangkan ketidakseimbangan pembangunan antara Sabah dan Semenanjung,” katanya.
Jordan turut menyokong cadangan Senator Dewan Negara, Datuk Edward Linggu supaya baki dana peruntukan untuk Sabah disalurkan ke dalam Tabung Amanah Sabah.
Menurut Jordan, mekanisme ini mampu mengatasi isu birokrasi yang sering melambatkan penyaluran dana, sekali gus memastikan penggunaan dana secara efisien.
“Saya menyokong cadangan Datuk Edward Linggu. Dengan terlalu banyak birokrasi dalam sistem sedia ada, Tabung Amanah Sabah boleh menjadi mekanisme penting untuk memastikan dana disalurkan terus kepada negeri tanpa kelewatan,” tegasnya.
Jordan juga mengingatkan tentang keperluan membezakan antara peruntukan pentadbiran dan pembangunan dalam belanjawan RMK-13. Beliau menyatakan bahawa perbelanjaan pentadbiran, seperti gaji penjawat awam Persekutuan, pengurusan sekolah kebangsaan, serta kos operasi keselamatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), berada di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.
“Peruntukan untuk pentadbiran tidak seharusnya digabungkan dengan belanjawan pembangunan. Ini kerana ia akan menjejaskan dana yang diperlukan untuk projek pembangunan, seperti pembinaan infrastruktur asas, jalan raya, bekalan elektrik dan air bersih yang sangat diperlukan di Sabah,” jelas beliau.
Jordan turut menekankan perlunya memberi perhatian kepada keperluan unik Sabah, termasuk pembangunan luar bandar, penyediaan kemudahan asas, serta peningkatan akses kepada pendidikan dan perkhidmatan kesihatan.
“Kerajaan Persekutuan harus memahami dan menghormati cabaran pembangunan yang unik di Sabah. Merujuk kepada MA63 bukan hanya satu tanggungjawab undang-undang, tetapi juga langkah penting untuk memastikan pembangunan yang adil dan inklusif,” katanya lagi.
































